Ikuti Kami:

“Terjatuh Cinta” Single Bahasa Melayu Pertama Julia Duclos

“Terjatuh Cinta” Single Bahasa Melayu Pertama Julia Duclos

Penyanyi dan penulis lagu versatil, Julia Duclos, mengorak langkah baharu dalam perjalanan seninya dengan pelancaran single pertama berbahasa Melayu berjudul “Terjatuh Cinta”, sebuah balada penuh emosi yang menyentuh tema cinta, kehilangan dan kekuatan dalam melepaskan.

Lagu ciptaan Danial, Iskandar, dan penerbit terkenal JOEK itu menjadi ruang buat Julia menzahirkan sisi peribadi dan kematangan emosinya sebagai penyanyi.

Menurut Julia, lagu tersebut sangat dekat di hati kerana ia lahir daripada kisah dan pengalaman sebenar yang pernah dilaluinya.

“Bagi saya, Terjatuh Cinta melambangkan proses belajar mencintai sesuatu dari jauh, dan mengetahui bila tiba masanya untuk melepaskan seseorang yang bukan ditakdirkan untuk kita,”

“Kadang-kadang kita bertahan kerana besarnya rasa cinta, tetapi sebenarnya ada kekuatan dalam melepaskan.” kata Julia.

Dalam proses rakaman, Julia memilih untuk mengekalkan keaslian dan kejujuran emosinya. Sebahagian besar vokal dirakam dalam satu sesi pengambilan tanpa banyak suntingan, menjadikan hasilnya kedengaran mentah dan tulus.

“Saya mahu ia kedengaran jujur dan spontan. Kami tidak banyak ubah kecuali memastikan sebutan jelas. Yang penting, perasaan sebenar ketika saya menyanyi itu dapat dirasai pendengar,” jelasnya.

Dengan susunan muzik yang perlahan membangun dan lirik yang sarat makna, Terjatuh Cinta disifatkan sebagai lagu pengubat hati bagi mereka yang sedang berdepan kehilangan atau perpisahan.

Julia berharap pendengar dapat menemui kekuatan dan ketenangan melalui mesej yang disampaikan.

“Kesedihan, kekeliruan dan kemarahan semuanya sah. Saya mahu pendengar tahu bahawa mereka tidak keseorangan dalam melalui proses penyembuhan,” tambahnya.

Pelancaran Terjatuh Cinta turut menandakan langkah penting Julia untuk memperkukuh kehadirannya dalam industri muzik tempatan.

Beliau kini aktif menghasilkan karya dalam dua bahasa, Melayu dan Inggeris, bagi memperluas jangkauan dan hubungan dengan peminat dari pelbagai latar.

“Ini baru permulaan. Saya sedang menyiapkan single Melayu kedua dan beberapa lagu Inggeris. Harapan saya adalah untuk membina hubungan lebih mendalam dengan pendengar menerusi muzik, visual dan emosi,” katanya lagi.

Selain muzik, Julia turut berhasrat meneroka bidang lakonan dan menghasilkan lagu runut bunyi untuk filem, memperlihatkan keupayaannya sebagai artis kreatif serba boleh.

Single “Terjatuh Cinta” kini boleh distrim di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music, manakala video muzik rasmi boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Julia Duclos bermula 31 Oktober 2025.

Komen
Loading...