”Terima Kasih Wira Negara,” Yayasan Ar Riduwan Agih 8,000 Bubur Lambuk
- oleh MDaily Editor
- 15 Mar 2026 10:31 am
Sebagai tanda penghargaan kepada pengorbanan petugas barisan hadapan, Yayasan Ar Riduwan (YAR) memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan mengagihkan sebanyak 8,000 bungkusan bubur lambuk sepanjang bulan Ramadan ini.
Menerusi Program Sumbangan Bubur Lambuk yang dianjurkan, yayasan itu menyasarkan agihan kepada petugas kesihatan, pesakit, waris, serta anggota keselamatan yang bertugas tanpa mengira masa demi kesejahteraan masyarakat.

Ketua Pegawai Operasi YAR, Lokmanulhakim Muhamad Riduwan, berkata program itu dilaksanakan dalam dua fasa bermula 22 Februari dan 2 Mac lalu dengan tumpuan utama diberikan kepada hospital dan balai polis terpilih.
”Sebanyak 1,000 pek bubur lambuk diagihkan di setiap lokasi penglibatan. Program ini bukan sekadar pemberian makanan, tetapi simbol penghargaan dan sokongan moral kami kepada wira negara serta mereka yang sedang diuji dengan kesakitan.
”Wajah-wajah syukur dan senyuman yang terukir menjadi bukti bahawa sentuhan kecil mampu memberi makna besar, sekali gus menghidupkan roh sebenar Ihya’ Ramadan dalam menyantuni komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara premis yang terlibat dalam siri agihan kali ini termasuklah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang, Hospital Kajang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, serta Balai Polis Wangsa Maju dan Balai Polis Melawati.
Program ini turut mendapat sokongan padu daripada 12 kakitangan sukarelawan yayasan yang turun padang bagi memastikan kelancaran agihan.
Mengulas lanjut, Muhamad Riduwan berkata, YAR yang beroperasi di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri itu kini mempertimbangkan untuk memperluaskan inisiatif berkenaan ke negeri lain pada masa hadapan.

Selain edaran makanan, beliau turut menyeru orang ramai untuk terus menyokong Program Ihya’ Ramadan 2026 dan pelbagai inisiatif kebajikan kesihatan yang dirancang sepanjang tahun ini.
“Setiap ringgit yang disumbangkan adalah pelaburan akhirat. Dana yang dikumpul akan disalurkan bagi bantuan peralatan hospital, sokongan kos rawatan pesakit asnaf, serta program kebajikan komuniti yang berterusan,” tambahnya.
Bagi mereka yang ingin menyumbang, derma boleh disalurkan terus ke akaun Maybank Yayasan Ar Riduwan (551043833248) dengan rujukan ‘Kebajikan Kesihatan’.




