KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini sekali lagi merakamkan penghargaan kerajaan kepada petugas barisan hadapan atas kerja keras dan kecemerlangan mereka sehingga wabak COVID-19 mampu ditangani dengan baik.
Perdana Menteri berkata, situasi terkini kes COVID-19 dalam negara yang menunjukkan trend penurunan adalah hasil peranan yang dimainkan petugas kesihatan dan anggota barisan hadapan.
Antara yang terbabit katanya adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), pelbagai agensi dan sukarelawan.
“Mereka sanggup mengambil risiko berdepan sesuatu yang cukup asing, yang tidak pernah mereka tangani sebelum ini,” katanya melalui status di Facebook hari ini.
Muhyiddin juga memaklumkan, beliau hari ini mengadakan sidang video bersama petugas kesihatan Hospital Sungai Buloh yang diketuai pengarahnya, Dr Kuldip Kaur.
“Alhamdulillah. Mereka semua kelihatan ceria, sihat dan bersemangat untuk terus bekerja membasmi penularan COVID-19.
“Mereka bersama ribuan petugas di seluruh negara adalah wira negara. Wira yang tak didendang. ‘Unsung heroes’ yang bekerja keras sejak dari awal wabak ini dikesan.
“Pengorbanan mereka cukup besar dan tidak ternilai harganya,” katanya.
Muhyiddin turut melahirkan rasa gembira apabila mendengar yang petugas di hospital berkenaan kini sudah ada masa untuk bertemu ahli keluarga.
“Saya sampaikan kepada mereka yang dunia kini mengiktiraf keupayaan negara dalam menangani penularan COVID-19.
“Ini semua adalah kerana peranan yang dimainkan mereka dan semua barisan hadapan dalam menjayakan langkah yang diambil kerajaan.
“Kita adalah antara yang terbaik di dunia!
“Terima kasih kepada semua ahli keluarga mereka kerana memahami dan merestui para ‘frontliners’ bertugas,” katanya.
Muhyiddin berkata, beliau juga dimaklumkan sendiri bahawa bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) di hospital kini mencukupi berbanding pada peringkat awal kes COVID-19 dikesan.
Bagaimanapun, dalam keupayaan negara menentang COVID-19, Muhyiddin turut mengingatkan bahawa perjuangan masih belum berakhir.
“Masih banyak yang perlu kita lalui. Saya mendoakan semoga mereka terus melakukan yang terbaik dalam usaha menamatkan pandemik COVID-19 di negara kita.