Ikuti Kami:

‘Terbuang Dalam Waktu’ Jadi ‘Jambatan’, Barasuara Terharu Sambutan Peminat Malaysia

‘Terbuang Dalam Waktu’ Jadi ‘Jambatan’, Barasuara Terharu Sambutan Peminat Malaysia

Kumpulan rock alternatif dari Indonesia, Barasuara, menyifatkan sokongan luar biasa peminat di Malaysia sebagai satu penghargaan besar buat kerjaya seni mereka, terutama selepas karya mereka mula mendapat tempat di hati peminat tempatan menerusi naskhah filem.

Vokalis dan pemain gitarnya, Iga Massardi berkata, lagu Terbuang Dalam Waktu yang dipetik daripada album ketiga mereka berjudul Jalaran Sadrah (2023) menjadi ‘jambatan’ utama yang menghubungkan muzik mereka dengan pendengar di negara ini secara lebih meluas.

Menceritakan titik tolak fenomena tersebut, Iga mendedahkan segalanya bermula apabila mereka dihubungi oleh pengarah Yandy Laurens pada tahun 2024 bagi mendapatkan keizinan menggunakan lagu berkenaan.

“Kami dihubungi Yandy Laurens (pengarah siri Sore: Istri dari Masa Depan) yang ingin menggunakan lagu Terbuang Dalam Waktu. Disebabkan filem itu, kami mula dikenali oleh kalangan peminat di Malaysia yang seterusnya mula mencari dan mendengar karya-karya kami yang lain.

“Kami sangat terharu dan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat di Malaysia atas sokongan ini,” katanya ketika Konsert Barasuara Live in Kuala Lumpur anjuran YOLO Malaysia yang berlangsung di Grand Banquet Hall, UTM Hotel & Residence, di sini, semalam.

Persembahan yang berlangsung dalam suasana intim itu menyaksikan Barasuara yang turut dianggotai TJ Kusuma (gitar), Gerald Situmorang (bass), dan Marco Steffiano (dram) tampil dengan kualiti vokal dan muzik yang cukup mantap.

Keunikan kumpulan ini turut diserikan dengan harmoni vokal daripada dua vokalis wanita, Asteriska dan Puti Chitara, yang memberikan dimensi emosi mendalam dalam setiap bait lirik yang dipersembahkan.

Sepanjang konsert, Barasuara memukau penonton dengan senarai 22 buah lagu termasuk Antea, Fatalis, Guna Manusia, Pikirian dan Perjalanan, serta Bahas Bahasa.

Lagu Terbuang Dalam Waktu yang menjadi kegemaran ramai turut dipersembahkan sebelum tirai konsert ditutup dengan sesi encore menerusi lagu Taifun dan Nyala.

Selain kualiti vokal, penataan cahaya dan sistem bunyi pada malam tersebut berjaya menterjemahkan ‘mood’ setiap lagu dengan berkesan, sekali gus memberikan pengalaman visual dan audio yang memuaskan buat penonton yang hadir.

Sebelum menggegarkan pentas pada sebelah malam, Barasuara turut meluangkan masa bertemu peminat dalam satu sesi ramah mesra (meet and greet) yang diadakan pada sebelah petang di lokasi yang sama.

Untuk rekod, Barasuara sebelum ini pernah membuat penampilan di Malaysia menerusi pentas Latihan Pestapora Malaysia 2025, namun konsert kali ini membuktikan pengaruh mereka semakin kukuh dalam industri muzik serantau.

Loading...