Tenxi & Naykilla Gegar Zepp KL Dalam “Panggung Puting Beliung”
- oleh MDaily Editor
- 3 Nov 2025 6:51 pm
Dua bintang sensasi muzik hipdut, Tenxi dan Naykilla, bakal menggamatkan pentas Zepp Kuala Lumpur menerusi konsert eksklusif bertajuk “Panggung Puting Beliung” pada Sabtu, 10 Januari 2026, jam 8 malam.
Dianjurkan oleh Icon Entertainment, konsert ini menjanjikan satu malam penuh tenaga, inovasi dan visual sinematik yang menggabungkan dua ikon muzik generasi baharu dalam satu pentas.
Tenxi yang kini menjadi fenomena di rantau Nusantara mencatatkan lebih 11.2 juta pendengar bulanan di Spotify dengan lebih 338 juta jumlah penstriman setakat Ogos lalu.
Sementara itu, Naykilla turut mencipta pengaruh besar dengan 260 juta penstriman serta 390,000 pendengar aktif bulanan di Kuala Lumpur sahaja membuktikan betapa kuatnya daya tarikan kedua-dua artis ini dalam kalangan peminat tempatan.
Menurut pihak Icon Entertainment, “Panggung Puting Beliung” bukan sekadar konsert biasa, tetapi satu pengalaman muzik imersif yang menampilkan gabungan genre hipdut moden dengan elemen visual dan pencahayaan yang direka khas untuk malam tersebut.
Tenxi mengakui keterujaannya untuk beraksi di hadapan peminat Malaysia buat kali pertama.
“Saya tahu vibe muzik di sini sangat kuat dan penuh energi. Kami mahu bawakan sesuatu yang bukan hanya sekadar persembahan, tetapi pengalaman yang orang akan ingat lama selepas konsert berakhir,” katanya.
Naykilla menyatakan keterujaannya untuk bertemu peminat Malaysia dan berjanji akan menghadiahkan persembahan luar biasa di Zepp Kuala Lumpur.
“Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hati saya. Saya tidak sabar untuk berdiri di atas pentas Zepp KL dan merasakan sorakan serta semangat peminat di sini. Kami janji, malam itu akan jadi sesuatu yang luar biasa,” ujarnya.

Jurucakap Icon Entertainment berkata pemilihan Tenxi dan Naykilla dibuat kerana kedua-duanya mewakili suara generasi baharu yang berani bereksperimen dengan identiti muzik tempatan.
“Tenxi telah membuktikan bahawa muzik berjiwa Nusantara mampu menembusi pasaran global. Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi simbol kepada gelombang baharu dalam industri muzik serantau,” jelasnya.
Dengan kejayaan album Puting Beliung yang mendominasi platform TikTok Nusantara, konsert ini dijangka menarik ribuan peminat, terutamanya daripada generasi Gen Z yang menjadi nadi utama kebangkitan muzik hipdut masa kini.
Menariknya, Icon Entertainment menetapkan harga tiket mampu milik sebagai tanda penghargaan kepada para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan karier kedua-dua artis ini.
Tiket konsert ditawarkan dengan harga berpatutan bermula daripada RM130 hingga RM5000, meliputi lima kategori iaitu Berubah (RM130), Kasih Aba-Aba (RM150), Mejikuhibiniu (RM190), Garam & Madu (RM220) dan Bintang 5 VIP Box (RM5000) yang turut disertakan poster eksklusif serta pakej F&B untuk penonton premium.
Tiket konsert “Panggung Puting Beliung” akan mula dijual Jumaat, 7 November 2025 melalui laman rasmi www.ticket2u.com.my.




