Ikuti Kami:

Tentera Israel Sasar Kem Pelarian Nur Shams

Tentera Israel Sasar Kem Pelarian Nur Shams

TULKAREM: Kem pelarian Nur Shams ‘dihujani’ tangisan selepas serangan terburuk Israel mengorbankan puluhan mangsa di kem berkenaan menyebabkan ramai rakyat Palestin kehilangan ahli keluarga masing-masing.

Sekurang-kurangnya 13 terkorban dalam operasi tentera di Tebing Barat sebelum mangsa dikebumikan melalui jalan yang dipenuhi dengan runtuhan kesan serangan Israel.

Tentera Israel melakukan serbuan secara berkala di beberapa bandar di Tebing Barat yang diduduki, dengan keganasan dilaporkan meningkat sejak perang di Gaza meletus tahun lalu.

Menurut tentera Israel, pihaknya membunuh 10 pejuang dalam serangan digelar ‘kontra-keganasan’ selama tiga hari di Nur Shams.

Seorang rakyat Palestin di kem itu, Niaz Zandeq, 40, berkata anaknya, Jehad, ditembak mati oleh askar Israel pada hari ulang tahunnya yang ke-15.

Niaz berkata, beliau diberitahu anaknya ditembak ketika melangkah keluar dari pintu selepas tentera memintanya meninggalkan rumah.

“Sebaik dia keluar, mereka melepaskan tembakan di kepalanya sedangkan dia tidak bersenjata,” katanya sambil menunjukkan gambar mayat anaknya oleh AFP.

Sementara itu, tentera Israel tidak memberikan maklum balas terhadap dakwaan mereka.

Jumaat lalu, menurut Kementerian Kesihatan Palestin, seorang lagi kanak-kanak, Qais Fathi Nasrallah berusia 16 tahun dibunuh oleh tentera Israel di kem pelarian Tulkarem yang berdekatan.

Menurut Bulan Sabit Merah Palestin, bapa mangsa yang seorang paramedik, sedang bertugas di hospital ketika kakitangan membawa mayat anaknya.

Katanya, jumlah korban keseluruhan di Tulkarem dan Nur Shams akibat operasi tentera Zionis adalah 14.

Sabtu lalu, tentera Israel membuat lapan tangkapan dan merampas senjata di sekitar Nur Shams, dengan lapan anggotanya dan seorang pegawai polis cedera.

Sementara itu, pelajar, Ibrahim Ghanim, 20, berkata mana-mana pihak yang melawan di kem tentera akan dipanggil pengganas.

“Tentera Israel membunuh begitu banyak orang di sini selama bertahun-tahun, sampai saya sendiri tidak terkira,” katanya.

Seorang lagi penduduk di kem, Hamde Abdallah Sarhan, 85, berkata dia masih menggigil apabila teringat insiden tentera Israel masuk ke rumahnya dan menembak ke dinding.

Hamde yang mengalami masalah paru-paru dan menggunakan mesin untuk membantu dirinya bernafas hanya terbaring ketakutan ketika itu.

“Saya sangat takut. Keganasan ini lebih dahsyat daripada yang saya bayangkan,” katanya.

Sementara itu, kanak-kanak berusia sembilan tahun, Misk Al-Shaikh turut ketakutan melihat jentera tentera Israel merobohkan bahagian depan bangunan pada malam Khamis.

“Saya takut dan memeluk ayah saya,” katanya.

Bapanya, Mostafa berkata, operasi tentera Israel menyasarkan penduduk awam dan cuba menukar Nur Shams kepada Gaza.

Israel menduduki Tebing Barat sejak tahun 1967 dan lebih 480 penduduk Palestin dibunuh oleh tentera Israel atau pendatang di sana sejak permulaan perang di Gaza pada 7 Oktober lalu. -AFP

Sumber
AFP
Komen
Loading...