“Tenggelam” Bukan Lagu Sedih, Tapi Lambang Cinta Jujur – Ismail Izzani
- oleh Mohd Indera
- 2 hari lalu

Penyanyi dan penulis lirik muda berbakat, Ismail Izzani, kembali menyapa peminat dengan single terbaharunya berjudul “Tenggelam”, yang menurutnya bukan sekadar lagu cinta, tetapi lambang kepada perasaan yang jujur dan mendalam terhadap seseorang yang benar-benar memahami dirinya.
Berbeza dengan kebiasaan lagu balada yang sarat dengan kesedihan dan kejatuhan, Tenggelam mengetengahkan pendekatan yang lebih segar, iaitu metafora cinta yang meresap ke dalam jiwa.
“Lagu ini bukan tentang kejatuhan atau kesedihan. Tenggelam adalah metafora kepada rasa cinta yang sangat mendalam, tentang bagaimana perasaan itu membungkus kita saat bertemu seseorang yang benar-benar memahami diri kita,” kata Ismail.
Lagu ini ditulis liriknya oleh Ismail bersama Brendan Lim Seng Meng, digubah oleh Amanda Gnai Song Hui dan Brendan, serta diterbitkan oleh pasukan produksi terkenal, MFMF.. Ismail menyifatkan kolaborasi ini sebagai pengalaman yang bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi ruang ekspresi yang sangat peribadi.
“Sebaik sahaja saya dengar beat itu, ‘hook’ terus datang. Prosesnya sangat semula jadi dan saya bersyukur kerana banyak bahagian lirik datang daripada saya sendiri,” katanya.
Menyedari betapa pentingnya suasana studio yang selesa dalam melahirkan kreativiti, Ismail turut memuji kemesraan dan kebebasan yang diberikan oleh MFMF sepanjang sesi rakaman.
Muzik video Tenggelam, yang telah dilancarkan di YouTube pada 19 Jun lalu, turut memaparkan kelainan dari segi konsep. Tanpa naratif linear, video muzik tersebut lebih menumpukan kepada getaran Y2K, mood visual dan ekspresi emosi.
“MV ini bukan tentang naratif, tetapi tentang vibe dan perasaan yang ingin disampaikan. Kami mula penggambaran seawal 4 pagi dan itu memberi ruang untuk improvisasi serta ilham spontan,” jelasnya.
Lebih bermakna, projek ini juga mempertemukan semula Ismail dengan dua individu penting dalam permulaan kariernya, Ghazi Maslan dan Lily, menjadikan Tenggelam lebih dekat di hati.
Walaupun Ismail tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, beliau tetap mengimpikan agar lagu ini menjadi permulaan kepada perjalanan kreatif yang lebih luas dan bermakna.
“Saya harap orang boleh rasa vibe yang saya cuba sampaikan. Saya mahu orang terima saya bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai pemuzik dan penghibur yang boleh memberi kesan kepada mereka. Moga Tenggelam jadi permulaan kepada lebih banyak karya selepas ini,” ujar Ismail.
Tenggelam kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, Joox dan YouTube Music.