Temple of Fine Arts Meriahkan Pentas DFP dengan “Ragas and Mudras”
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu

Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) terus komited menyemarakkan seni dan budaya tempatan dengan mempersembahkan satu lagi produksi istimewa Temple of Fine Arts (TFA) yang bakal dipentaskan pada Sabtu, 6 September 2025 jam 8.00 malam di lokasi ikonik, Menara Berkembar PETRONAS.
Persembahan yang bertemakan Classical Traditions: Ragas and Mudras ini menjanjikan sebuah pengalaman budaya India yang memukau, merangkumi muzik klasik Hindustani dan Carnatic yang menyentuh jiwa serta empat tarian klasik India yang menakjubkan Bharatanatyam, Odissi, Kathak dan Kuchipudi.
Mengangkat tema Ragas and Mudras, penonton bakal disajikan dengan gabungan indah struktur melodi klasik India ragas, serta simbolik gerakan tubuh dan tangan mudras, yang mendalam maknanya dalam tradisi seni persembahan India.
TFA, yang ditubuhkan pada tahun 1981, merupakan organisasi berprestij dalam menyemai seni dan budaya India di kalangan generasi muda.
Bermula sebagai institusi tarian, TFA kini menawarkan kurikulum muzik dan vokal serta telah mempersembahkan lebih 20 produksi dan 300 persembahan pendek di pelbagai negara termasuk Singapura, Sri Lanka, India, Australia, UK dan Amerika Syarikat.
Reputasi TFA turut diiktiraf di peringkat kebangsaan apabila ia menjadi pilihan untuk mengisi acara rasmi negara seperti Sidang Kemuncak APEC dan Festival Kebudayaan Komanwel pada 1998, selain pernah menerima anugerah di BOH Cameronian Arts Awards.
Menurut pihak DFP, persembahan TFA ini adalah sebahagian daripada DFP Seni Festival 2025 yang turut menampilkan Mistik Pura Masyrik pada 9 Ogos dan Sanggar Seni dari 5 hingga 7 September yang ditawarkan secara percuma di foyer DFP.
Tiket untuk menyaksikan keindahan seni budaya India ini boleh didapati pada harga antara RM69 hingga RM159, manakala tempat duduk suite yang termasuk jamuan ringan ditawarkan pada harga RM199 atau RM249 seorang.
Potongan istimewa sebanyak 20% untuk Pakej Keluarga juga disediakan dengan pembelian enam tiket kategori A atau B Reserve.
Untuk maklumat lanjut dan tempahan, orang ramai boleh menghubungi Box Office DFP di talian 03-2331 7007 atau melayari laman sesawang rasmi di www.dfp.com.my