Tembuni Berdarah Bongkar Realiti Dunia Kecantikan dan Amalan Syirik
- oleh Mohd Indera
- 18 Sep 2025 2:30 pm

Filem seram terbaharu arahan Dr Ahmad Idham, Tembuni Berdarah, tampil dengan pendekatan berbeza apabila membongkar isu pemakaian susuk dalam dunia kecantikan serta mengangkat realiti amalan syirik yang masih wujud sebagai jalan pintas untuk kelihatan cantik dan berjaya.
Diterbitkan oleh Lindo Production Sdn Bhd, filem ini mengetengahkan konflik ideologi dua generasi lama dan baharu dalam menilai antara usaha keras dan pilihan amalan songsang demi mencapai impian.
Ia dibintangi barisan pelakon popular termasuk Sophia Albarakbah, Niezam Zaidi, Khatijah Tan, Shahirah Shahora, Riezman Khuzaimi serta Mia Nasir.
Menurut Ahmad Idham, Tembuni Berdarah bukan sekadar menampilkan elemen seram semata-mata, sebaliknya membawa sindiran sosial yang dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini.
“Saya cuba mengangkat isu realiti dunia estetika kecantikan dan pertembungan ideologi antara generasi lama dan baharu. Ramai hari ini memilih dunia estetika untuk kelihatan cantik dan awet muda, tetapi ada juga yang terjebak mencari jalan pintas dengan amalan syirik,” katanya pada Malam Gala dan Sidang Media Tembuni Berdarah di GSC MyTown Cheras.
Tambahnya, filem ini turut mengekalkan sentuhan seram ala Jangan Pandang Belakang dan Congkak, namun dengan struktur penceritaan segar serta elemen kejutan lebih banyak berbanding drama dialog yang panjang.
Beliau turut memuji komitmen pelakon, terutama Sophia Albarakbah yang sanggup melakonkan babak mencabar, termasuk adegan di kubur pada waktu malam serta bermain dengan darah.
“Sophia keluar daripada zon selesanya. Dia benar-benar menyahut cabaran untuk tampil berbeza. Ditambah pula latar belakangnya sebagai pelajar perubatan, dia tidak kekok berinteraksi dengan jarum, peralatan hospital dan wataknya sebagai doktor nampak lebih realistik,” jelasnya.
Tembuni Berdarah menjalani penggambaran selama 20 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, termasuk ketika bulan Ramadan. Filem ini dijadualkan menemui penonton di seluruh pawagam tanah air pada 25 September 2025.
Filem ini mengisahkan Dr Izara (Sophia Albarakbah), seorang wanita bercita-cita tinggi mengembangkan bisnes produk kecantikan dengan prinsip bahawa tiada jalan pintas untuk berjaya. Namun, neneknya Bok Miah (Khatijah Tan) percaya amalan ilmu hitam dan susuk mampu memudahkan cucunya mencapai kekayaan dan kejayaan.
Pertembungan dua pegangan hidup ini mencetuskan konflik besar, termasuk persoalan sama ada perceraian Izara dengan suaminya, Aidan (Niezam Zaidi), ada kaitan dengan ilmu hitam neneknya itu.
Jawapan kepada segala persoalan hanya bakal terjawab di pawagam bermula 25 September ini.