Telaga Suriram: Setiap Pelakon Telah Memberi Jiwa Mereka – Osman Ali
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Filem terbaru arahan Osman Ali, Telaga Suriram, yang bakal menemui penonton di pawagam pada 1 Mei 2025, mengangkat kisah misteri kehilangan seorang kanak-kanak di sebuah kampung terpencil.
Namun, lebih daripada sekadar sebuah kisah seram, filem ini mencerminkan usaha gigih para pelakon dalam menghidupkan watak mereka, meskipun berdepan cabaran besar sepanjang penggambaran.
Menurut Osman Ali, pengarah terkenal yang pernah menghasilkan karya-karya seperti Puaka Tebing Biru dan Ombak Rindu, proses pembikinan Telaga Suriram memberikan pengalaman yang berbeza daripada filem sebelumnya.
“Pelakon-pelakon kami telah melalui cabaran besar untuk menjiwai watak masing-masing, terutama selepas rehat panjang akibat pandemik COVID-19. Setiap daripada mereka benar-benar memberi jiwa kepada watak yang dibawakan,” kata Osman di sidang media Majlis Tayangan Perdana Filem Telaga Suriram di Dadi Cinema Pvillion, Kuala Lumpur pada Khamis.
Proses penggambaran filem ini terhenti selama enam bulan akibat sekatan COVID-19 turut memberi cabaran kepada para pelakon apabila kembali ke set penggambaran semula.
“Bila kami kembali ke set, semuanya telah berubah. Pelakon perlu berusaha keras untuk kembali menjiwai karakter masing-masing. Maya Karin sebagai Rohaya, Nabila Huda sebagai Maimon, dan Farid Kamil sebagai Zakir, semuanya memberikan komitmen yang luar biasa.”
“Maya perlu memanggil semula Rohaya dalam dirinya, sama juga dengan Abil (Nabila Huda) yang perlu menyelami emosi Maimon, seorang wanita dengan sejarah silam yang menghantui,” tambah Osman.
Perubahan fizikal dan emosi turut memberi kesan kepada Puteri Rafasya, yang membawakan watak Suriram.
Osman turut memuji kerjasama antara pelakon, termasuk sesi lakonan intensif yang dikendalikan oleh Ellie Suriaty sebagai guru lakonan.
“Ellie memberikan sepenuh komitmen untuk membantu pelakon memahat karakter masing-masing. Proses ini sangat penting untuk menghidupkan watak-watak seperti Rohaya, Maimon, dan Zakir,” jelas Osman.
Telaga Suriram mengisahkan sebuah kampung terpencil yang digemparkan dengan kehilangan tragis Suriram.
Misteri ini membawa pelbagai konflik dan spekulasi di kalangan penduduk. Rohaya dan Sopiyan, ibu bapa Suriram, berusaha mencari kebenaran, sementara Zakir (Farid Kamil) dan Inspektor Karmila (Scha Alyahya) bekerjasama untuk merungkai misteri yang menyelubungi kampung tersebut.
Osman berharap filem ini bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memberikan perspektif tentang cabaran emosi yang dihadapi oleh setiap watak.
“Saya sangat bersyukur dapat bekerjasama dengan pelakon yang benar-benar mencintai seni lakonan. Mereka telah memberikan sepenuh jiwa untuk menghidupkan watak masing-masing,” katanya.
Selain barisan pelakon, turut memeriahkan Tayangan Perdana Telaga Suriram ialah biduanita Dato’ Sri Siti Nurhaliza, yang juga merupakan penyanyi bagi lagu runut bunyi Telaga Suriram berjudul “Sesal”.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Telaga Suriram di pawagam bermula 1 Mei 2025.