TCL Kuasai 50 Peratus Pasaran Mini LED Global, Perkukuh Portfolio di Malaysia
- oleh MDaily Editor
- 30 Apr 2026 6:13 pm
TCL, gergasi teknologi global, terus mengukuhkan dominasinya sebagai peneraju pasaran televisyen dunia apabila menguasai 50 peratus pegangan pasaran Mini LED global, sekali gus memacu pengembangan agresif di Malaysia bagi tahun 2026.
Menerusi pelancaran strategi produk dan komersial terbaharunya, kumpulan yang mencatatkan pendapatan tahunan melebihi RM206 bilion itu memperkenalkan teknologi proprietari SQD-Mini LED untuk pasaran tempatan, bertujuan memenuhi permintaan segmen pertengahan hingga premium.
Pengarah Urusan TCL Malaysia, Carolyn berkata, kejayaan penghantaran TV TCL yang melebihi 30 juta unit di peringkat global pada tahun lalu membuktikan kepercayaan pengguna terhadap inovasi jenama itu, khususnya dalam kategori skrin besar 98 inci.

“Malaysia merupakan pasaran pertumbuhan strategik bagi ekosistem Smart IoT kami. Dengan SQD-Mini LED, kami bukan sekadar melancarkan produk, tetapi menetapkan penanda aras baharu bagi teknologi paparan premium yang mengatasi keupayaan OLED dari segi kecerahan dan jangka hayat,” katanya dalam majlis perlancaran di IOI Grand Exhibition & Convention Center, di sini, hari ini.
Antara produk yang dilancarkan bagi tahun ini termasuklah model Flagship X11L yang menampilkan kecerahan puncak 10,000 nits dengan 20,736 zon peredupan tepat, disasarkan kepada peminat sinematik ultra-premium, Siri C8L & C7L yang membawa teknologi SQD-Mini LED ke pasaran volum tinggi dengan sistem audio yang ditala oleh pakar bunyi, Bang & Olufsen.

Penyaman Udara VoxIN yang dilengkapi teknologi T-AI yang mampu menjimatkan tenaga sehingga 37 peratus dan peralatan rumah antaraya peti sejuk terbina dalam nipis dengan pensterilan T-Fresh dan mesin basuh Super Drum 540mm untuk kediaman bandar moden.
Komitmen TCL terhadap inovasi disokong oleh pelaburan hampir RM170 bilion melalui anak syarikatnya, TCL CSOT, bagi membina rantaian industri bertaraf dunia. Pelaburan ini merangkumi pembangunan teknologi masa hadapan seperti OLED cetakan inkjet dan Micro-LED.
Selain kehebatan teknologi, TCL turut mengukuhkan imej jenamanya di peringkat antarabangsa melalui kerjasama sebagai rakan global Sukan Olimpik Musim Panas Los Angeles 2028.
Langkah strategik ini dijangka akan terus memacu pertumbuhan hasil luar negara TCL yang telah menunjukkan kadar peningkatan tahunan purata sebanyak 18.3 peratus dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
