Ikuti Kami:

Tayangan Global Jangan Pandang Belakang 2 Bermula Februari Ini

Tayangan Global Jangan Pandang Belakang 2 Bermula Februari Ini

Filem seram tempatan, Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu, kini bersiap sedia untuk melangkah ke peringkat global.

Bermula 3 Februari 2025, filem ini akan menemui penonton di Kemboja, diikuti dengan Thailand dan Laos pada 13 Mac 2025.

Filem ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan kutipan BOX Office di Malaysia, Singapura, dan Brunei.

Tayangan global ini bukan sahaja meluaskan capaian filem tempatan tetapi juga mencatatkan sejarah sebagai filem seram tempatan pertama yang berjaya melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa.

Menurut penerbitnya, David Teo, kejayaan Jangan Pandang Belakang di enam negara Asia Tenggara sebelum ini menjadi inspirasi untuk terus membawa filem ini kepada penonton di seluruh dunia.

“Penghargaan kepada rakan media yang sentiasa memberikan sokongan penuh sepanjang pembikinan filem ini,” katanya.

Dibarisi oleh pelakon hebat seperti Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin, Mawar Rashid, dan Khatijah Tan, filem ini mengisahkan perjuangan keluarga Opah melawan gangguan saka yang mencari tuan baharu.

Kejadian-kejadian menyeramkan yang berlaku menguji keberanian setiap watak, menjanjikan pengalaman mendebarkan untuk penonton.

Dengan pencapaian ini, Jangan Pandang Belakang 2 menjadi lambang kebanggaan filem tempatan yang berjaya bersaing di pentas antarabangsa.

Sebelum ini, filem Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu telah memulakan tayangan di seluruh Malaysia pada 21 November 2024.

Komen
Loading...