“Tari Warna” Jadi Simbol Evolusi Muzik Monosterio Selepas 20 Tahun
- oleh MDaily Editor
- 27 Oct 2025 5:55 pm
Kumpulan muzik bebas tanah air, Monosterio, mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri muzik tempatan apabila melancarkan album terbaharu berjudul “Tari Warna” bersempena ulang tahun ke-20 perjalanan seni mereka dalam satu majlis di BEKL, Bandar Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur, hari ini.
Album penuh “Tari Warna” memuatkan 10 lagu utama dan 5 lagu bonus, menjadikan keseluruhan 15 buah lagu, selain dua single utama “Boneka” dan “Tari Warna” yang dilancarkan bersama muzik video rasmi arahan Pit Hassan (Pitto) daripada Sosial Project Empire, dengan penggambaran dijalankan di sekitar Alor Setar, Kedah.
Menurut Anep, pemain dram Monosterio yang juga pengasas Asia Empire Records, lagu “Tari Warna” menjadi nadi kepada keseluruhan konsep album yang mencerminkan perjalanan dan falsafah muzik mereka.

“Tari Warna adalah tentang warna-warni kehidupan, kisah manusia, dunia luar, dan hubungan kita dengan Yang Satu. Ia mencerminkan peralihan hidup dari zaman kanak-kanak hingga dewasa. Lagu ini mudah diterima semua lapisan umur dan itu yang menjadikan ia istimewa,” katanya.
Menariknya, pelancaran ini turut berlangsung serentak di Indonesia, dengan lagu diputarkan di lebih 50 stesen radio di seluruh negara tersebut sebagai usaha memperluas pengaruh muzik Monosterio ke peringkat serantau.
“Kebetulan hari ini kita lancarkan di dua negara, Malaysia dan Indonesia. Di sana, lebih daripada 50 stesen radio menyiarkan lagu Tari Warna secara serentak sebagai single utama. Kita juga menerima banyak respon positif daripada media dan stesen radio Indonesia. Terima kasih kepada semua pihak di sana yang menyokong karya kami,” katanya.
Monosterio turut menzahirkan penghargaan kepada MyCreative Ventures atas sokongan penuh terhadap penerbitan album ini serta kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, khususnya YB Dato’ Fahmi Fadzil, atas dorongan terhadap penggiat muzik tempatan.
“Kami memang tak bernaung di bawah label besar. Jadi selepas geran diluluskan, kami berada dalam studio hampir dua bulan untuk mencari bahan asas. Proses rakaman keseluruhan mengambil masa lima bulan manakala keseluruhan projek termasuk mixing dan mastering berjalan selama 12 bulan,” katanya.
Keseluruhan projek termasuk rakaman, dua muzik video rasmi, beberapa video lirik serta barangan rasmi menelan kos hampir RM100,000, menjadikan Tari Warna antara produksi paling besar mereka setakat ini.
“Sebelum ini semua kami tanggung sendiri, tapi kali ini dengan bantuan MyCreative Ventures, kami dapat hasilkan karya dengan lebih baik dan tersusun. Kami berikan sepenuh tenaga dan masa untuk projek ini,” ujarnya.

Sementara itu, Alan, pemain gitar utama Monosterio, berkata album kali ini amat istimewa kerana semua ahli terlibat secara menyeluruh dalam penulisan dan penghasilan lagu.
“Selama ini saya banyak hasilkan lagu untuk band-band lain, boleh kata saya macam ‘kilang lagu’. Tapi untuk album Tari Warna, kami bertiga hasilkan bersama dari awal sampai akhir. Setiap lagu ada sentuhan peribadi kami dari riff gitar, susunan melodi sampai lirik,” katanya.

Pelancaran anjuran Asia Empire Record itu turut menampilkan persembahan showcase eksklusif oleh Monosterio yang dianggotai oleh Izan (vokal), Anep (dram) dan Alan (gitar utama).
Monosterio sebelum ini dikenali dengan nama RiverMonk dan OTwo, menerbitkan empat album terdahulu Dewi (2001), Jingga (2002), Radio Tanah Melayu (2005) dan Evolusi (2010).
Anep turut memaklumkan bahawa Monosterio bakal mengadakan jelajah konsert seluruh Malaysia pada awal tahun depan yang akan bermula dari Kedah hingga Johor, dengan persembahan kemuncak dijadualkan di Kuala Lumpur.
“Kami mahu kongsi pentas dengan rakan-rakan band lain. Semangat komuniti indie itu penting. Kami sokong mereka, mereka sokong kami, itu yang menjadikan muzik terus hidup,” katanya.
Album “Tari Warna” hadir dalam format steel pendrive edisi khas, manakala rilisan CD fizikal dijadualkan dilancarkan pada Disember 2025. Album ini juga boleh didengari di semua platform penstriman digital utama.
Album tersebut boleh didapati di www.monosterio.com yang turut menawarkan pelbagai barangan eksklusif untuk peminat.




