Tantari, Putera Bobo Bergabung Dalam ‘Tangisan 1 Syawal’
- oleh MDaily Editor
- 6 Mar 2026 12:59 pm
Lagu “Rindu Hatiku Rindu” dendangan Tantari dan “Korban Rindu” nyanyian Putera Bobo bukan sekadar fenomena di platform digital, malah ia berjaya melonjakkan nama kedua-dua penyanyi cilik ini sebagai bakat yang sangat diperhitungkan.
Menyedari potensi besar yang dimiliki, komposer ternama, Eddie Hamid, mengambil inisiatif untuk menyatukan Tantari, 8, dan Putera Bobo, 14, dalam sebuah naskhah raya berjudul “Tangisan 1 Syawal”.
Berbeza dengan lagu raya yang biasanya bersifat rancak dan ceria, karya ciptaan Eddie ini merupakan sebuah balada yang menyentuh sisi emosi serta realiti kehidupan anak-anak yatim piatu yang menyambut lebaran tanpa insan tersayang.
Menurut Eddie, idea menggandingkan dua penyanyi hebat ini adalah impian yang akhirnya menjadi kenyataan, dengan sokongan padu daripada Nova Music Malaysia.
“‘Tangisan 1 Syawal’ bukan sekadar lagu raya biasa. Ia adalah luahan hati bagi mereka yang kehilangan orang tua. Sebagai anak yatim piatu, saya amat merasai situasi ini dan mahu menyampaikannya dengan tulus ikhlas melalui vokal Tantari dan Putera Bobo.
“Saya yakin, gabungan vokal mereka mampu menyentuh sanubari pendengar, apatah lagi mesej yang dibawa adalah tentang kasih sayang dan rasa syukur,” katanya.

Meskipun jarak memisahkan lokasi rakaman Tantari merakamkan vokal di studio NAR, Kuala Lumpur manakala Putera Bobo di K-Seventh Studio, Kelantan, perbezaan itu tidak sedikit pun menjejaskan kualiti lagu tersebut.
Menariknya, kedua-dua penyanyi ini tidak pernah bertemu sebelum penggambaran muzik video. Namun, keserasian mereka terserlah tatkala melakonkan watak adik-beradik yang daif di set penggambaran yang melibatkan lokasi rumah anak yatim dan tanah perkuburan.
Putera Bobo yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik mengakui tidak kekok melayan Tantari seperti adiknya sendiri.
“Lagu ini sangat dekat di hati saya. Ia mengingatkan kita untuk sentiasa menghargai keluarga dan tidak lupa untuk menziarahi anak-anak yatim yang kurang bernasib baik pada hari raya,” ujar Putera Bobo.
Bagi Tantari pula, pengalaman ini amat bermakna walaupun dia terpaksa membawakan emosi sedih.
“Mula-mula saya ingatkan dapat lagu raya rancak, tapi rupa-rupanya lagu yang sangat menyentuh perasaan. Saya berharap ramai yang menyokong lagu ini,” kongsi Tantari.
Lagu terbitan Nova Music Malaysia ini sudah boleh distrim di semua platform digital sejak 5 Mac lalu. Muzik video rasmi yang sarat dengan mesej kemanusiaan ini juga telah menemui penonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’.




