Ikuti Kami:

Tantari Pertaruh ‘1 Cinta 1 Rindu, Sentuhan Eddie Hamid

Tantari Pertaruh ‘1 Cinta 1 Rindu, Sentuhan Eddie Hamid

Selepas mencetuskan fenomena luar biasa menerusi lagu Rindu Hatiku Rindu yang meraih lebih 16 juta tontonan di YouTube, penyanyi cilik berbakat besar, Tantari, kini kembali mempertaruhkan single terbaharunya berjudul 1 Cinta 1 Rindu.

Karya menyayat hati yang mendapat sentuhan magis komposer tersohor, Eddie Hamid itu merupakan sebuah penceritaan emosi yang mendalam mengenai realiti perhubungan zaman moden, khususnya tentang tema cinta yang tidak kesampaian.

Eddie Hamid berkata, lagu 1 Cinta 1 Rindu merupakan gabungan antara realiti dan interpretasi perasaan universal yang diispirasikan daripada kisah benar yang berlaku di sekelilingnya.

“Lagu ini diispirasikan daripada kisah-kisah benar… termasuk pengalaman individu terdekat yang bergelut dengan rasa rindu. Malah, saya juga menyuntik sedikit emosi yang pernah saya rasai sendiri agar penyampaian itu kedengaran lebih jujur dan tulus,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain Eddie, single ini turut mendapat sentuhan barisan penulis lirik berkaliber iaitu Jaju, Hakim Hakimi, dan Te Ha yang menterjemah realiti kehidupan di mana sebuah ikatan yang dibina lama boleh berubah sekelip mata disebabkan peredaran masa dan situasi semasa.

Sementara itu, Tantari mengakui proses menyiapkan lagu ini memberikan cabaran tersendiri buat dirinya, terutamanya dalam mendalami emosi sepanjang sesi rakaman di studio.

“Cabaran paling payah adalah untuk menjiwai rasa rindu dan kesedihan itu. Saya perlu berhati-hati agar tidak menyampaikannya secara berlebihan (over-emotional) namun dalam masa yang sama, vokal saya harus dijiwai sepenuhnya untuk membuatkan pendengar turut merasai kepedihan tersebut,” jelas penyanyi cilik itu.

Bagi memastikan kualiti vokal yang optimum dan penyampaian yang ikhlas, Tantari mengambil masa selama beberapa minggu untuk proses ‘pemanasan’ emosi dan penjiwaan lirik sebelum memulakan sesi rakaman yang dilakukan secara berasingan.

Penyanyi itu turut menaruh harapan yang tinggi agar buah tangan terbaharunya ini dapat diterima baik oleh peminat seni suara tanah air serta pencinta muzik serantau.

“Harapan saya agar lagu ini dapat menyentuh hati mereka yang mendengarnya, terutamanya bagi mereka yang pernah atau sedang melalui perpisahan. Saya mahu lagu ini menjadi teman buat mereka yang sedang merindu orang yang pernah dicintai,” katanya.

Lagu 1 Cinta 1 Rindu terbitan Nova Music Malaysia kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama, manakala video muzik rasminya juga sudah boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos sejak 22 Mei lalu.