Kumpulan muzik dari Perak, Qalam Band, kembali mencuri perhatian industri seni tanah air dengan pelancaran single terbaharu mereka berjudul ‘Tanpa Noktah’.
Sebuah karya balada kontemporari yang sarat emosi ini mula menerima sambutan hangat daripada peminat setia sejak dilancarkan kira-kira dua minggu lalu.
Ditubuhkan pada tahun 2011, Qalam Band konsisten membawa aliran muzik berteraskan balada moden dan kontemporari, diperkaya dengan elemen pop, soul, dan susunan orkestra ringan.
Menerusi kenyataan rasmi kumpulan itu, visi utama mereka adalah untuk menyampaikan karya yang mempunyai nilai perasaan, naratif dan refleksi hidup sebenar.
Lagu ‘Tanpa Noktah’ ini unik kerana ia dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh Mukhrizad, pemain bass Qalam Band, yang mendapat inspirasi daripada pengalaman peribadi yang menyentuh hati.
“Lagu ini menggambarkan perasaan seseorang yang ditinggalkan secara tiba-tiba—tanpa penjelasan, tanpa penutup, seolah-olah kisah cintanya tergantung di udara,” jelas kumpulan itu.
Susunan muzik minimalis yang dihasilkan membolehkan vokal dan lirik lagu ini menjadi tumpuan utama, sekali gus memberikan kesan mendalam kepada setiap pendengar.

Qalam Band menyatakan proses penghasilan lagu ini mengambil masa kira-kira dua bulan, dengan cabaran utama adalah menyampaikan emosi lagu secara jujur tanpa berlebihan memandangkan liriknya yang sangat peribadi.
“Kami merasakan ‘Tanpa Noktah’ lebih matang dan mendalam berbanding karya-karya sebelum ini. Ia bukan sekadar lagu cinta, tetapi satu pengakuan batin yang sukar diungkap,” ujar mereka lagi.
Mereka berharap lagu ini dapat menemani dan menjadi suara kepada pendengar yang sedang terluka atau pernah melalui kehilangan secara tiba-tiba dalam hidup.
Selain pelancaran single ini, Qalam Band kini dalam proses merancang kolaborasi strategik dengan beberapa artis tempatan dan sedang giat menyiapkan sebuah mini album yang akan memuatkan beberapa karya baharu.
‘Tanpa Noktah’ kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik utama.




