Ikuti Kami:

Tangis, Tawa dan Pengorbanan: Filem Keluarga 1 Kakak 7 Ponakan Tiba di Malaysia

Tangis, Tawa dan Pengorbanan: Filem Keluarga 1 Kakak 7 Ponakan Tiba di Malaysia

Gabungan emosi, komedi dan nilai kekeluargaan menyatu dalam filem keluarga Indonesia yang dinanti-nantikan, 1 Kakak 7 Ponakan, yang bakal menghiasi pawagam seluruh Malaysia bermula 24 April 2025.

Dalam satu majlis gala penuh gemilang yang berlangsung di GSC Mid Valley Megamall, GSC Movies telah mempersembahkan tayangan perdana dan sidang media khas filem ini, diserikan dengan kehadiran para pelakon utama seperti Chicco Kurniawan dan Freya JKT48.

Turut hadir, pengarah tersohor Yandy Laurens dan barisan penerbit – Manoj Samtani, Lavesh Samtani, serta Suryana Paramita – yang sama-sama merealisasikan naskhah penuh makna ini.

1 Kakak 7 Ponakan, terbitan bersama Mandela Pictures dan Cerita Films, mengangkat kisah seorang lelaki muda yang perlu menggalas tanggungjawab membesarkan tujuh anak saudaranya selepas tragedi menimpa keluarga mereka.

Dalam mengharungi cabaran kehidupan yang tidak diduga, filem ini menyajikan cerita yang penuh tangisan, tawa dan pengorbanan – satu cerminan realiti yang sangat dekat dengan hati masyarakat hari ini.

Di Indonesia, filem ini telah mencipta kejayaan luar biasa apabila mencatat lebih 1.2 juta penonton dalam tempoh awal tayangannya – satu pencapaian yang menandakan betapa kuatnya daya tarikan kisah ini merentas usia dan latar belakang.

Pengarah Yandy Laurens yang terkenal dengan sentuhan penceritaan emosinya, sekali lagi menghidangkan karya yang menyentuh jiwa.

Dengan elemen sinematik yang indah dan jalan cerita yang menyentuh perasaan, beliau berjaya menggambarkan cabaran generasi ‘sandwich’ dengan cara yang tulus dan bermakna.

Filem ini bukan sekadar hiburan – ia adalah peringatan tentang pentingnya ikatan keluarga, kekuatan dalam kesatuan, dan erti sebenar pengorbanan.

Bagi yang mendambakan cerita yang menyentuh jiwa dan menghangatkan hati, 1 Kakak 7 Ponakan adalah pilihan wajib tonton.

Foto Oleh: Are Mint.

Komen
Loading...