Tanah Jerlus Masjid India: Tingkatkan pemantauan berkala dan pemeriksaan menyeluruh di kawasan awam – Sathiah Sudakaran
- oleh Mohd Indera
- 3 bulan lalu
KUALA LUMPUR – Ketua Negeri myPPP Wilayah Persekutuan, Sathiah Sudakaran menggesa semua majlis tempatan untuk meningkatkan pemantauan berkala dan pemeriksaan menyeluruh di kawasan awam, jalan raya, dan infrastruktur untuk mengenal pasti dan membaiki potensi bahaya sebelum ia mengakibatkan kemalangan atau tragedi terutamanya semasa musim tengkujuh.
“Keselamatan dan kesejahteraan setiap penduduk mesti diutamakan, dan dalam kes ini ia merupakan peringatan yang jelas tentang tanggungjawab kritikal yang dipegang oleh majlis tempatan dalam mengekalkan infrastruktur awam.
“Kehadiran lubang benam (sinkhole), terutamanya di kawasan bandar, menandakan kegagalan yang jelas dalam pemantauan, penyelenggaraan, dan tindak balas pantas terhadap potensi bahaya.” kata Sathiah dalam satu kenyataan.
Menurut Sathiah, Sistem tindak balas kecemasan yang pantas dan cekap harus disediakan untuk menangani sebarang insiden yang serupa dan termasuk mempunyai saluran komunikasi yang jelas, kakitangan terlatih, dan peralatan yang diperlukan dalam keadaan siap sedia.
“Buat masa ini, sistem sokongan hanya bertindak balas apabila terdapat masalah dan pada masa untuk mencari penyelesaian sudah terlambat.”
Beliau turut menggesa majlis tempatan untuk melibatkan diri secara aktif dengan penduduk untuk melaporkan sebarang potensi bahaya dan turut mengadakan kempen kesedaran awam.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Vijayaletchumy, 48, yang hilang akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India, kini memasuki hari keenam.
Alat pengesan Ground Penetrating Radar (GPR) turut digunakan pada hari keenam untuk mengesan wanita warga India yang masih hilang dalam insiden tanah jerlus di sini