Tam Spider, Amir Masdi, Sam Bunkface Antara ‘orang kuat’ Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen
- oleh MDaily Editor
- 29 Jan 2026 11:00 pm
Ratu Rock negara, Ella, hari ini secara rasmi mengumumkan barisan artis ternama yang bakal memeriahkan Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Februari depan.
Antara nama besar yang diangkat sebagai ‘orang kuat’ bagi konsert berskala stadium itu ialah vokalis kumpulan Spider, Tam; penyanyi muda berbakat, Amir Masdi; serta vokalis Bunkface, Sam.
Kehadiran barisan artis ini bukan sekadar pengisian pentas, malah simbolik penyatuan generasi muzik rock yang merentasi zaman.
Turut diumumkan ialah penyatuan semula kumpulan asal beliau, The Boys (Ella & The Boys), yang dijangka membawa peminat mengimbau kembali era kegemilangan rock tanah air.

Ella menyifatkan pemilihan artis jemputan ini sebagai satu penghormatan terhadap perjalanan seni beliau yang kini menjangkau lebih tiga dekad.
“Ini adalah perjalanan emosi dan penghargaan buat peminat yang telah bersama saya sejak awal kerjaya. Kami sedang mengukuhkan kandungan konsert selain menjalani latihan intensif dari segi fizikal, vokal serta mental.
“Ini merupakan persembahan solo terbesar sepanjang karier saya, dan anda bukan sekadar penonton, namun anda adalah sejarah itu sendiri!” katanya pada majlis Jamuan Tengah Hari Bersama Ella di Restoran Cili Kampung, Sunway Pyramid, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal berkata, produksi konsert kali ini dirancang dengan sangat teliti bagi memastikan penonton mendapat pengalaman bertaraf antarabangsa.

“Salah satu tarikan utama adalah konsep pentas ‘Half Moon’ sepanjang 35 meter yang melambangkan simbol penyatuan peminat di bawah legasi Rockqueen,” jelasnya.
Selain elemen hiburan, konsert ini turut membawa misi kebajikan sebagai tanda sokongan Ella terhadap komuniti yang memerlukan, selari dengan prinsip muzik mampu memberi impak bermakna kepada masyarakat.
Peminat yang ingin mendapatkan cenderamata eksklusif rasmi seperti t-shirt, jersi, dan jaket boleh membelinya secara dalam talian menerusi laman web rasmi www.hitmanlive.com sejak 14 Januari lalu.




