‘Talk To My Manager’ Kembali Temui Penonton 19 April Ini
- oleh MDaily Editor
- 4 Apr 2026 10:17 am
Selepas mencatatkan kejayaan luar biasa pada musim sulungnya, program realiti pertandingan ikonik, Talk To My Manager (TTMM) bakal kembali menemui penonton untuk musim kedua bermula 19 April ini.
Tampil dengan pengisian yang lebih mantap, musim baharu ini bukan sekadar sebuah pertandingan hiburan, malah diperluaskan menerusi penganjuran kem latihan khas, ‘TTMM Experience’ bagi mencungkil bakat generasi baharu industri seni tanah air.
Naib Presiden Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, TTMM Musim 2 mengekalkan konsep uniknya yang meraikan legasi dan hubungan kekeluargaan antara selebriti dan anak-anak mereka.

“Kami amat berhati dengan sambutan luar biasa terhadap musim pertama. Format unik ini memberi peluang kepada penonton menyaksikan sisi hubungan antara selebriti dan anak mereka yang jarang dikongsikan, sekaligus membuka ruang kepada generasi baharu untuk menyerlah,” katanya pada sidang media program Talk To My Manager (TTMM) Musim 2, di sini malam tadi.
Musim kedua ini bakal menyaksikan penglibatan 10 gandingan ‘manager-artist’ yang terdiri daripada nama-nama besar industri termasuk Adira & Anggrek, Dato’ Sri Vida & Cik B, serta Dato’ Fazley & Fariedz Fazley.
Turut memeriahkan saingan ialah pasangan Pak Azad & Amarra, Linda Jasmine & Ratu, serta Nana Mahazan & Althea.
Konsep ‘pass-the-baton’ yang diamalkan akan menguji keserasian serta bimbingan ibu bapa selaku pengurus kepada bakat seni anak mereka di atas pentas.

Program ini masih mengekalkan Datuk Aznil Hj Nawawi sebagai pengacara, manakala kerusi juri tetap diduduki oleh Che Puan Sarimah dan Dato’ AC Mizal.
Kelainan utama musim ini adalah pengenalan ‘TTMM Experience’, sebuah kem latihan eksklusif 2 Hari 1 Malam yang dibuka kepada orang ramai buat julung kalinya.
Menerusi kem ini, peserta akan dibimbing oleh mentor profesional dan pakar industri dalam aspek persembahan, vokal, dan keyakinan diri, sekali gus menjadi platform pembangunan bagi melahirkan bintang masa hadapan.
Sistem penjurian kekal dengan format 100 peratus markah daripada juri profesional, di mana 60 peratus dinilai berdasarkan strategi pengurusan ‘manager’ dan 40 peratus lagi menerusi kualiti persembahan artis.
Juara musim kedua bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000, sementara naib juara dan tempat ketiga masing-masing akan menerima RM15,000 dan RM10,000.
Talk To My Manager Musim 2 akan bersiaran secara langsung setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan boleh distrim melalui Astro GO serta aplikasi sooka. Program ini turut mendapat sokongan Eskayvie sebagai penaja utama.




