Dato’ Awie, penyanyi tersohor tanah air, menegaskan bahawa semua bekas anggota Wings, termasuk dirinya dan Jobranko, kini telah membawa haluan masing-masing, dan tidak perlu lagi menoleh ke belakang.
Bagi Awie, setiap ahli telah memilih perjalanan mereka sendiri, dan fokus kini adalah pada masa depan.
Dalam respon terhadap laporan bahawa Mel Wings ingin melihat anggota asal Wings bersatu semula, Awie berkata, setiap ahli kini telah selesa dengan perjalanan masing-masing.
FOTO : Cyril Riseng
“Jo dah move on, saya pun dah move on. Tak ada apa lagi yang perlu dikecohkan. Saya sokong mereka dengan apa yang mereka buat sekarang. Semua dah berjaya dengan cara masing-masing,” katanya.
“Jobranko sudah bersama Barbarik, kumpulan yang sangat bagus dan berbakat. Saya tengok persembahan mereka luar biasa, muzik mereka pun mantap. Tak perlu toleh ke belakang. Teruskan jalan,” ujur Awie.
Jobranko atau nama penuhnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 55, yang menyertai Wings pada 1 April 1988 sebelum meninggalkan kumpulan itu pada Ogos 2016, kini mencipta nama bersama kumpulan Barbarik bersama Muss, bekas vokalis May.
Menurut Awie atau nama penuhnya Ahmad Azhar bin Othman, 56, pencapaian mereka adalah bukti bahawa mereka telah bergerak maju dan tidak lagi terikat dengan kisah lama.
Beliau juga menasihatkan pihak luar agar tidak mencampuri urusan mereka, terutama dalam hal yang hanya difahami oleh mereka sendiri. Awie menyifatkan campur tangan sedemikian hanya akan mengeruhkan keadaan.
“Masalah kita biar kita selesaikan sendiri. Jangan ada yang cuba jadi orang tengah, akhirnya mengeruhkan lagi keadaan. Kami ni semua dah lima puluhan, bukan budak-budak. Biar kami uruskan cara kami,” jelasnya.
Awie percaya bahawa persahabatan di antara bekas anggota Wings tidak akan terputus, tetapi buat masa ini, fokus mereka adalah untuk meneruskan perjalanan masing-masing tanpa perlu menoleh ke belakang.
“Saya nak benda ni dia go with the flow. Sampai satu masa nanti, insyaAllah, kerana silaturahim ni tidak akan terputus. Kawan puluhan tahun, duduk makan, duduk sekali, semua benda tu kita kenang. Bukan kita buang, kita kenang, kita simpan,” ujar Awie.
FOTO: Papadin
Awie ditemui media semasa sidang akhbar Konsert TRIAD : One Conquer All, sebuah konsert yang bakal menyatukan tiga kumpulan rock legenda: Wings, Search Kid Din, dan Dragon Malaya. Menariknya, Awie akan tampil sebagai vokalis utama untuk ketiga-tiga kumpulan ini.
Konsert penuh bersejarah ini dijadualkan berlangsung pada 14 Februari 2025 di Zepp Kuala Lumpur, menjanjikan pengalaman luar biasa untuk peminat muzik rock.
Tiket boleh diperoleh melalui laman web rasmi: https://rpm.ubertickets.asia.