Tak Ingin Usai Di Sini: Filem Adaptasi Korea Menemui Penonton Malaysia 3 Julai
- oleh Mohd Indera
- 2 hari lalu

Filem romantik menyentuh hati Tak Ingin Usai Di Sini, adaptasi daripada karya Korea terkenal More Than Blue (2009), bakal menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia bermula 3 Julai 2025.
Diproduksi oleh Paragon Pictures dengan kerjasama Ideosource Entertainment, filem ini diedarkan di Malaysia oleh Horizon Film Entertainment.
Ia diarahkan oleh Robert Ronny, pengarah yang pernah mencipta fenomena menerusi The Most Beautiful Girl in The World.
Barisan pelakon hebat Indonesia menghiasi naskhah ini termasuk Bryan Domani (172 Days), Vanesha Prescilla (Milea: Suara Dari Dilan), dan Davina Karamoy (Ipar Adalah Maut).
Sejak mula ditayangkan di Indonesia pada 5 Jun lalu, Tak Ingin Usai Di Sini berjaya meraih lebih 200,000 penonton dalam tempoh tiga hari.
Filem ini turut mencetuskan fenomena di media sosial, khususnya TikTok, apabila tular dengan pelbagai ulasan positif dan reaksi emosional penonton yang tidak dapat menahan air mata.
Menjelang tayangan umum, satu tayangan perdana eksklusif telah diadakan pada 25 Jun lalu di Kuala Lumpur, yang turut dihadiri oleh pengarah Robert Ronny bersama barisan pelakon utama.
Kehadiran mereka disambut meriah oleh peminat dan penggiat industri tempatan yang tidak sabar menantikan karya penuh emosi ini.
Filem ini mengisahkan K (lakonan Bryan Domani) dan Cream (Vanesha Prescilla), dua sahabat sejak bangku sekolah menengah. Dalam diam, K menaruh perasaan terhadap Cream, namun tidak pernah meluahkan cintanya.
Menyedari masa depannya mungkin singkat, K berusaha mencari pasangan yang sesuai untuk Cream agar gadis itu tidak kesepian apabila dia tiada lagi.
Namun, mampukah cinta yang tidak pernah terucap menemui pengakhirannya? Tak Ingin Usai Di Sini menyingkap dilema antara persahabatan, pengorbanan, dan cinta yang mendalam.
Penyanyi popular Rossa turut membuat kemunculan khas di dalam filem ini.
Bakal menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia bermula 3 Julai 2025 dapatkan tiket anda sekarang di TGV berhampiran anda!
Layari www.tgv.com.my sekarang!