Ikuti Kami:

Taiwan Sasar Lonjakan Pelancong Malaysia, Perkukuh Kempen ‘Waves of Wonder’

Taiwan Sasar Lonjakan Pelancong Malaysia, Perkukuh Kempen ‘Waves of Wonder’

Tourism Administration of Taiwan kembali memperkasakan strategi promosi di Malaysia menerusi kempen besar-besaran bagi merebut peluang peningkatan permintaan pelancongan luar negara yang kian pesat di negara ini.

Langkah strategik itu dilaksanakan menerusi delegasi peringkat tinggi yang menjelajah ke dua bandar utama, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, bagi mengukuhkan kedudukan Taiwan sebagai destinasi pilihan utama untuk separuh kedua tahun 2026 dan musim cuti perayaan akan datang.

Pengarah Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan di Kuala Lumpur, Abe Chou, berkata pasaran Malaysia kekal sebagai salah satu sumber utama bagi Taiwan di bawah Dasar Pandang ke Selatan Baharu (New Southbound Policy).

“Dengan pertumbuhan KDNK Malaysia yang mencecah 5.2 peratus pada tahun 2025, permintaan untuk melancong ke luar negara terus meningkat. Keakraban rakyat Malaysia dengan Taiwan serta kemudahan penerbangan terus menjadikan pasaran ini sangat penting,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi tahun ini, Taiwan memperkenalkan identiti jenama baharu, “Taiwan—Waves of Wonder,” yang memberi tumpuan kepada kepelbagaian landskap dan budaya.

Di Pulau Pinang, pameran di Queensbay Mall berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung dengan menampilkan tarikan ikonik seperti instalasi Belon Udara Panas Taitung dan maskot popular “OhBear.”

Selain itu, penglibatan pempengaruh (KOL) terkenal seperti LizQin dan Cayeeloh turut digunakan bagi mencetuskan trend pelancongan viral, khususnya dalam kalangan generasi muda yang mencari lokasi “Instagrammable” dan unik.

Menyedari populasi Muslim merangkumi hampir 70 peratus penduduk Malaysia, Taiwan menggandakan usaha dalam segmen ini.

Pencapaian Taiwan yang menduduki tempat ke-4 bagi destinasi bukan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2025 menjadi bukti komitmen mereka.

“Kami mahu memastikan Taiwan kekal sebagai destinasi mesra Muslim melalui penyediaan kemudahan hospitaliti dan kualiti perkhidmatan yang diiktiraf antarabangsa,” tambah beliau.

Misi kali ini turut melibatkan 29 organisasi dan 64 wakil industri termasuk agensi pelancongan, hotel, dan pengusaha taman tema.

Sesi taklimat B2B yang diadakan di Kuala Lumpur telah berjaya memudah cara sebanyak 5,000 sesi padanan perniagaan, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan pelancongan antara kedua-dua negara.

Dengan kelebihan kemasukan tanpa visa dan persekitaran yang selamat, Taiwan optimis dapat menarik lebih banyak kunjungan berulang daripada rakyat Malaysia menerusi jadual perjalanan bertema yang lebih premium dan mendalam.