Tahfiz Berselawat 2025: Ramadan Penuh Keberkatan Bantu Anak Tahfiz dan Pesakit Kanser
- oleh Mohd Indera
- 25 hari lalu

Ramadan kali ini membawa seribu keberkatan melalui program Tahfiz Berselawat 2025, yang berlangsung di Warung Pagi Pagi, Federal Hill.
Dengan misi membantu anak-anak tahfiz dan pesakit kanser, acara ini menjadi simbol kebersamaan masyarakat dalam menyemarakkan amalan kebaikan di bulan mulia.
Program ini memberi tumpuan kepada pengumpulan dana untuk pembangunan infrastruktur Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah, Keramat, sambil membantu Adina Charity Circle, yang menyantuni pesakit kanser kanak-kanak. Dengan tema “Putih Bersih”, acara amal ini mengundang komuniti untuk berbuka puasa bersama dan berselawat sebagai tanda sokongan kepada anak-anak generasi Al-Quran.
Penampilan khas kumpulan Raihan menyuntik semangat kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Sementara itu, Penganjur, Putra Amaris, meluahkan rasa syukur kerana dapat membantu anak-anak tahfiz.
“Alhamdulillah, hari ini Allah izinkan kita bersama-sama membantu anak-anak tahfiz. Segala hasil infaq dan sumbangan akan disalurkan terus kepada mereka yang memerlukan. Tiada keuntungan diambil, hanya keikhlasan demi manfaat bersama.”
Acara ini akan diteruskan pada 22 Mac 2025 di Saloma Kuala Lumpur, di mana lebih ramai anak-anak tahfiz dan pesakit kanser dijangka hadir.
Sasaran utama adalah mengumpul dana melalui jualan meja berbuka puasa, yang hasilnya akan terus disalurkan kepada Maahad Tahfiz dan komuniti memerlukan.
Program ini juga mendapat sokongan besar daripada rakan kolaborasi seperti SoftRein, Bateriku.com, dan Bigo Live.
Warung Pagi Pagi turut memainkan peranan penting dengan menawarkan harga modal untuk menyediakan tempat duduk bagi pelajar tahfiz, ustaz, dan pengamal media.
Masyarakat diajak untuk menyumbang secara langsung melalui akaun CIMB: 8602008531 (Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah).
Sumbangan kecil seperti RM10 sekalipun membawa impak besar kepada mereka yang memerlukan.
Acara ini membuktikan bahawa Ramadan bukan sahaja tentang ibadah peribadi, tetapi juga peluang untuk bersama-sama membantu mereka yang memerlukan, membawa keberkatan kepada semua pihak.
Foto Oleh: Papadin.