Szindore Tampil Dengan 400 Variasi Wangian di Karnival Aroma Hati
- oleh Mohd Indera
- 19 Aug 2025 2:09 am

Peminat minyak wangi bakal menikmati pengalaman eksklusif apabila jenama tempatan, Szindore, turut menyertai Karnival Aroma Hati pada 30 dan 31 Ogos ini di Debob Event Space, PERDA, Pulau Pinang.
Jenama yang diasaskan pada 2021 ini bermula secara kecil-kecilan dengan jualan dari bonet kereta, sebelum berkembang melalui platform TikTok Live dan kini mempunyai dua cawangan di Aman Central, Alor Setar dan Aman Jaya, Sungai Petani, dengan purata jualan mencecah RM40,000 sebulan bagi setiap kiosk.
Pengasas Szindore, Megat Fawwaz Megat Rosli atau lebih mesra dipanggil Che Art berkata pihaknya menawarkan lebih 400 jenis wangian diinspirasikan daripada jenama antarabangsa, namun mengekalkan harga mampu milik antara RM29 hingga RM99.
“Kami mahu pengguna merasai wangian berkualiti setanding jenama antarabangsa, tetapi dengan harga yang berpatutan dengan bau yang lebih tahan lama,” katanya.
Selain minyak wangi, Szindore dibawah naungan System Mikey Resource turut memasarkan body mist, shower gel, pewangi kereta dan bakal melancarkan produk baharu iaitu pomade rambut tidak lama lagi.
Mengulas perjalanan awal perniagaan, anak muda kelahiran negeri Kedah ini mengakui berdepan pelbagai cabaran namun kekal positif.
“Awal-awal dulu ada juga penolakan daripada orang, tapi itulah yang menguatkan kami. Gagal hari ini tidak bermakna kita gagal selamanya. Esok mungkin lebih baik jika kita terus berusaha,” jelasnya.
Beliau turut berpesan kepada anak muda yang ingin menceburi bidang perniagaan supaya tidak mudah berputus asa.
“Setiap halangan itu tembok yang menunggu untuk dipecahkan. Yakin dan teruskan usaha,” tambahnya.
Sepanjang karnival, Szindore akan mengadakan promosi istimewa, termasuk hadiah eksklusif untuk pembelian tertentu dan diskaun khas untuk pengunjung.
Karnival Aroma Hati yang dianjurkan oleh House of Amar pimpinan pelakon dan usahawan terkenal Amar Asyraf Zailuddin, menghimpunkan lebih 14 jenama tempatan, antaranya HOA, FAKE, SORAE, Scentic, Sephoria Scent, Meg Fragrance, Beauboss, Tres Parfum, Lancia Perfume, Nabia Parfum, Sugarbomb, Keef & Nish dan Medin Fragrance.
Acara ini berlangsung dari jam 10 pagi hingga 6 petang dan menjanjikan pelbagai tawaran menarik buat pengunjung.