Ikuti Kami:

Syurga Dalam Botol: Kisah Harapan dan Kemanusiaan Di Pawagam 9 Oktober

Syurga Dalam Botol: Kisah Harapan dan Kemanusiaan Di Pawagam 9 Oktober

Filem Syurga Dalam Botol arahan Ebi Kornelis bakal menemui penonton di pawagam terpilih seluruh negara bermula 9 Oktober 2025, mengetengahkan tema harapan dan kemanusiaan yang segar dalam sinema tempatan.

Mengambil inspirasi daripada simbolik “syurga dalam botol” yang dihanyutkan di lautan Gaza oleh rakyat Mesir, filem ini menyorot kisah bagaimana semangat kemanusiaan tidak pernah padam biarpun terkurung oleh luka.

Ia memberi gambaran bahawa harapan tetap wujud, terapung di tengah kesulitan, sebelum akhirnya ‘pecah’ dan menyinari masa depan.

Diterbitkan oleh Global Nusantara Production Sdn Bhd, filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Kenneth Torrecampo Oliver, Ebi Kornelis, Dg. Hasnah, Sharizan Tahir, Quzhairil Lona Walawd, Selhan Ramon dan Abdul Kams Sainali.

Menariknya, penggambaran Syurga Dalam Botol dijalankan sepenuhnya di Sabah dan kawasan sekitarnya, menonjolkan keindahan alam semula jadi Borneo sebagai latar visual yang menguatkan lagi emosi penceritaan.

Menurut pengarahnya, Ebi Kornelis, filem ini adalah impian lama yang akhirnya berjaya direalisasikan.

“Saya sangat bersyukur kerana akhirnya impian lama saya dapat direalisasikan melalui Syurga Dalam Botol. Filem ini membawa mesej kemanusiaan, harapan dan semangat yang tidak pernah padam, satu genre yang sangat dekat di hati saya. Saya percaya ini hanyalah permulaan dan berharap karya ini mendapat sokongan padu daripada penonton,” katanya.

Ebi Kornelis, atau nama sebenarnya Firdaus bin Yaimal, yang merupakan naib juara Akademi Fantasia musim kelima kelahiran Kota Kinabalu, Sabah, kini melangkah lebih jauh dalam dunia perfileman.

Dengan sentuhan visual yang sarat simbolik, keindahan sinematografi Sabah serta mesej kemanusiaan yang merentas sempadan, Syurga Dalam Botol dijangka mencuit emosi penonton dan meninggalkan kesan mendalam selepas tayangan.

Penonton boleh menyaksikan Syurga Dalam Botol di pawagam terpilih seluruh negara bermula 9 Oktober 2025.

Komen
Loading...