Syria Care Tubuh HUMAM Relief, Fokus Bumi Syam Sambil Lebar Sayap Antarabangsa
- oleh Mohd Indera
- 29 Sep 2025 7:50 am

Syria Care melakar sejarah baharu perjuangan kemanusiaan negara apabila menubuhkan Pertubuhan Amal HUMAM atau HUMAM Relief, sebuah organisasi yang bakal memperluaskan misi bantuan ke peringkat antarabangsa, manakala Syria Care kekal fokus di bumi Syam.
Walaupun baharu setahun berdaftar, HUMAM Relief telah menjejakkan kaki ke beberapa negara menerusi projek awal seperti pembinaan telaga air bersih di Uganda dan Indonesia, pemulihan rumah akibat konflik di Syria, serta projek W.A.S.H (Air, Sanitasi dan Kebersihan) di Malaysia termasuk inisiatif kesihatan haid wanita melalui kerjasama dengan agensi kerajaan dan syarikat korporat.
Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki, berkata penubuhan HUMAM Relief pada 2024 adalah hasil pengalaman lebih sedekad Syria Care berkhidmat di Syria dan rantau Syam.
“HUMAM Relief lahir sebagai ‘adik’, tetapi dengan mandat lebih luas, ia akan berperanan sebagai ‘abang’ kepada Syria Care. Syria Care akan terus fokus kepada bumi Syam, manakala HUMAM Relief membawa pengalaman itu ke pentas global.
“HUMAM Relief percaya setiap bantuan mesti menghormati identiti, budaya dan maruah komuniti yang dibantu, supaya mereka bukan sekadar hidup, tetapi hidup dengan martabat,”
“Ini hanyalah langkah permulaan. HUMAM Relief diharap berkembang sebagai peneraju misi kemanusiaan dengan projek-projek mampan di Malaysia dan luar negara, agar komuniti rentan mampu membina semula kehidupan dengan inovasi, pemerkasaan dan penyelesaian mampan, insya-Allah,”katanya ketika berucap pada majlis pelancaran di sini.
Majlis turut menyaksikan pelancaran logo baharu Syria Care, simbol aspirasi dan transformasi organisasi menuju pembangunan jangka panjang yang menekankan kelestarian, maruah serta harapan.
Ditubuhkan pada 2012 oleh Sheikh Samir Sakka bersama sukarelawan dan bekas pelajar Syria di Malaysia, Syria Care berkembang daripada gerakan kecil kepada NGO berimpak besar.
Misi pertamanya pada 2013 diuji dengan tragedi apabila seorang petugas ditembak ketika bertugas, namun peristiwa itu menguatkan lagi tekad pasukan.
Setahun kemudian, Syria Care didaftarkan secara rasmi, menjadi NGO pertama Malaysia khusus untuk membantu krisis di Syria.
Siti Sakinah menekankan bahawa kejayaan perjalanan kemanusiaan Syria Care dan HUMAM Relief hanya terwujud hasil doa, sumbangan serta sokongan rakyat Malaysia.
“Lebih sedekad perjuangan Syria Care membuktikan bahawa doa, sumbangan dan sokongan rakyat Malaysia mampu mengubah kehidupan insan lain. HUMAM Relief adalah kesinambungan kekuatan ini.
“Misi ini bukan milik Syria Care atau HUMAM Relief semata-mata, tetapi milik kita semua sebagai manusia yang diamanahkan untuk membela manusia lain,” katanya.
Antara pencapaian besar Syria Care termasuk projek perumahan Kampung Malaysia di Idlib yang menempatkan 274 keluarga, penajaan hampir 6,000 anak yatim, pembinaan 19 sekolah, rumah anak yatim dan warga emas Dar As Sakinah, serta bantuan kepada hampir 6 juta penerima manfaat di Malaysia, Syria, Türkiye, Lubnan, Afghanistan, Uganda, Yemen, Nepal dan selatan Thailand.
Kini, dengan HUMAM Relief sebagai sayap global, Syria Care kekal menumpukan fokus di Syria, Palestin dan Lubnan, sementara HUMAM Relief memperluaskan capaian bantuan ke negara-negara lain dengan pasukan dan semangat sama.