Syria Care Sasar Hantar Dua Kontena Bantuan Musim Sejuk Terus ke Syria
- oleh MDaily Editor
- 22 Oct 2025 8:37 pm
Foto Oleh: Papadin.
Syria Care meneruskan komitmen kemanusiaannya dalam membantu mangsa konflik di Syria dengan pelancaran kempen Winter Aid 13.0 yang menyasarkan penghantaran dua kontena bantuan musim sejuk terus ke Pelabuhan Latakia, Syria buat pertama kalinya tanpa perlu melalui negara ketiga.
Kempen tahunan ini yang bermula pada 26 September hingga 31 Disember 2025 memberi tumpuan kepada tiga jenis bantuan utama iaitu bahan bakar (diesel, kayu api, briket zaitun) dan pakaian musim sejuk bagi membantu rakyat Syria dan pelarian Syria di Lubnan menghadapi kesejukan ekstrem yang boleh mengancam nyawa.
Di bawah kempen ini, projek “Warm Their Winter” diteruskan sebagai inisiatif teras sejak 2013.
Program pengumpulan pakaian berlangsung dari 22 hingga 26 Oktober 2025 di Dewan Kiambang, Seksyen 7, Shah Alam, dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3 (MPP Zon 3).
Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki, berkata program itu membuka peluang kepada masyarakat untuk menyerahkan pakaian musim sejuk yang kemudiannya akan disusun, dilipat dan dibungkus sebelum dihantar ke Syria.
“Hari ini kita adakan projek pengumpulan pakaian musim sejuk di bawah kempen Winter Aid. Kita buka peluang kepada orang ramai untuk menyerahkan pakaian musim sejuk mereka dan kita akan sorting, lipat dan masukkan ke dalam kotak sebelum dihantar ke Syria tahun ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, program ini merupakan acara tahunan kali ke-13 yang diadakan setiap bulan Oktober dan tiga tahun berturut-turut dijalankan dengan kerjasama MBSA serta MPP Zon 3.
“Tahun ini kita sasarkan 1,600 kotak pakaian yang akan memenuhi dua kontena 40 kaki (High Cube). Tahun lepas kita hantar satu, tahun sebelumnya dua, bergantung kepada jumlah sumbangan pakaian dan dana yang diterima,” ujarnya.

Siti Sakinah berkata, tahun ini lebih istimewa kerana buat pertama kali Syria Care akan menghantar bantuan terus ke Pelabuhan Latakia di Syria, tidak lagi melalui pelabuhan Mersin di Turkiye seperti tahun-tahun sebelumnya.
“Selepas gempa bumi besar di Turkiye dan Syria pada 2023, kerajaan Turkiye tidak lagi membenarkan kemasukan pakaian terpakai ke pelabuhannya. Jadi, dua tahun lalu kita hantar ke Lubnan. Tahun ini julung-julung kalinya kita hantar terus ke Syria,” jelasnya.
Bagi tahun ini, perjalanan laut dijangka mengambil masa 50 hari sebelum bantuan tiba di Syria untuk diagihkan kepada komuniti terjejas. Namun, katanya, cabaran terbesar adalah kos penghantaran yang meningkat dan memerlukan dana mencukupi.
“Cabaran utama ialah dana. Untuk menghantar dua kontena ini, termasuk kos pelabuhan, kotak khas, logistik dan pentadbiran, kita perlukan sekitar RM150,000. Tahun ini kos meningkat kerana kita tempah kotak khas bersaiz mengikut kontena bagi memudahkan proses penghantaran dan agihan di Syria,” katanya lagi.
Menurutnya, pakaian yang diterima akan diasingkan mengikut kategori lelaki, wanita dan kanak-kanak sebelum dimasukkan ke dalam kotak khas bagi memudahkan sukarelawan Syria mengagihkan kepada penerima.
“Kalau kita lihat, mereka di sana hidup dalam keadaan sangat sukar. Musim sejuk boleh membawa maut, terutama kepada kanak-kanak. Walaupun mereka biasa dengan musim sejuk, hidup berpindah-randah tanpa perlindungan mencukupi menjadikan mereka amat terdedah kepada risiko kesejukan melampau,” ujarnya.
Siti Sakinah turut menjelaskan bahawa Syria Care turut bekerjasama dengan Pertubuhan Ihsanku Malaysia, HUMAM Relief, serta beberapa NGO lain termasuk AlKhair (Pulau Pinang), IKRAM (Kuantan) dan MRA (Kedah) yang menggerakkan pengumpulan pakaian di peringkat negeri sebelum dihantar ke Shah Alam.
“Setakat ini kita dah terima sumbangan dari Kuantan dan Pulau Pinang. Mereka bantu sama ada dari segi penghantaran pakaian atau sumbangan kewangan. Semua ini menunjukkan semangat kebersamaan rakyat Malaysia yang prihatin terhadap saudara di Syria,” katanya.
Penghantaran dua kontena dijangka bergerak dari Shah Alam ke Pelabuhan Klang pada 27 Oktober 2025, sebelum berlayar terus ke Syria.
“Ini adalah kali pertama kita hantarkan bantuan secara langsung ke Syria, jadi kita mohon doa agar semua urusan dipermudahkan. Kami sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran yang mungkin timbul,” tambahnya.
Selain bantuan pakaian, Syria Care turut menjalankan projek Roof for Syria bagi membaik pulih rumah yang rosak akibat peperangan serta meneruskan agihan bahan bakar dan makanan musim sejuk kepada keluarga yang memerlukan di wilayah Syria dan Lubnan.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Syria Care (562106653575) atau di laman sesawang rasmi https://syriacare.org.my/winteraid/
.




