SYNTEC Labur RM78 Juta Bina Fasiliti Pembuatan Pintar di Selangor
- oleh MDaily Editor
- 22 Dec 2025 5:48 pm
Penyedia penyelesaian pembuatan pintar dari Taiwan, Syntec Technology (SYNTEC), melancarkan pembangunan fasa kedua fasiliti Syntec Intelligence Technology Sdn Bhd di Malaysia dengan komitmen pelaburan melebihi RM78 juta.
Pelaburan strategik itu bertujuan menyokong permintaan luar negara yang kian meningkat, selain memperkukuh daya tahan rantaian bekalan global kumpulan berkenaan.
Pengarah Global Syntec Intelligence, Otis Siah, berkata pengembangan operasi di Malaysia adalah langkah penting untuk menyokong peningkatan permintaan di seluruh rantau ASEAN dengan lebih berkesan.

“Ini bukan sekadar perluasan kilang, tetapi sebuah nod penting dalam operasi global kami. Ia bakal mempercepatkan tindak balas serta memperkukuh kerjasama dengan rakan kongsi serantau,” katanya semasa Majlis pecah tanah hari ini.
Kemudahan baharu yang dijadualkan siap pada awal 2027 itu akan menyokong pembuatan dan ujian pengawal industri, selain pemasangan dan pengesahan sistem lengan robotik pintar.
Apabila beroperasi sepenuhnya, fasiliti berkenaan dijangka menjadi hab pembuatan luar negara utama yang menyokong pasaran di India, Turkiye, ASEAN dan Amerika Syarikat (AS), sekali gus memendekkan tempoh penghantaran serta meningkatkan keupayaan bekalan tempatan.
Pelaburan baharu ini didorong oleh peningkatan permintaan daripada industri mesin alat (machine tool), khususnya dari India.
Langkah ini juga adalah sebahagian daripada strategi kapasiti berteraskan pelanggan ketika landskap pembuatan global mengalami perubahan pesat.
Sementara itu, Pengarah Bebas Syntec Technology, Grant Kuo, berkata projek berkenaan mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat untuk meraih pertumbuhan mampan di pasaran berpotensi tinggi.

“Dengan memperkukuh kehadiran pembuatan di luar negara, kami bukan sahaja meningkatkan fleksibiliti rantaian bekalan malah meletakkan kumpulan ini pada kedudukan yang kukuh untuk terus berkembang,” katanya.
Majlis pecah tanah projek tersebut turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han; Timbalan Wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, James JM Buu serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang, Datuk Abd Hamid Hussain.
Projek ini dibangunkan dengan kerjasama syarikat pembinaan tempatan, Pembinaan Tuju Setia Sdn Bhd, yang menggabungkan reka bentuk bangunan hijau dan kaedah pembinaan cekap tenaga selaras dengan komitmen ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) Kumpulan Syntec.




