Symphony Of Ungu: Peminat Malaysia Buktikan Cinta Tak Pernah Pudar
- oleh Mohd Indera
- 13 Jul 2025 12:22 pm

Hampir tiga dekad menakluk industri muzik serantau, kumpulan popular Indonesia, Ungu, membuktikan keutuhan sokongan peminat Malaysia apabila lebih ribuan penonton memenuhi Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) malam tadi bagi menyaksikan konsert istimewa mereka, Symphony Of Ungu.
Konsert sempena ulang tahun ke-29 Ungu ini tampil berbeza apabila buat pertama kali band berkenaan mempersembahkan lagu-lagu hits mereka dengan iringan orkestra melibatkan 14 pemuzik profesional tempatan di bawah pimpinan konduktor terkenal, J.P Denny.
Pasha, selaku vokalis utama, turut meluahkan keterujaan dan rasa terharu atas sambutan hangat yang diberikan peminat Malaysia. Malah, beliau secara berseloroh mengakui agak gementar kerana bimbang kehadiran mereka yang kerap di Kuala Lumpur akan membuatkan peminat jemu.
“Sejujurnya saya agak gementar malam ini. Kami sudah beberapa kali tampil di Kuala Lumpur, jadi ada rasa risau juga takut kalau penonton sudah mula bosan dengan kami. Tapi ternyata tidak! Saya lihat semua sangat bersemangat. Seronok? Siap untuk bersama kami sampai habis? Dua jam cukup, ya?” katanya disambut sorakan gemuruh penonton.
Lebih manis, Pasha turut turun dari pentas mendekati penonton sambil menyanyi dan sempat melayan peminat yang mahu merakam gambar kenangan bersama, sekali gus mengukuhkan ikatan erat antara Ungu dan peminat Malaysia yang setia bersama mereka sejak awal pembabitan dalam arena muzik.
Antara lagu popular yang dipersembahkan termasuk “Melayang”, “Berikan Aku Cinta”, “Cinta Dalam Hati”, “Aku Tahu”, “Saat Bahagia”, “Aku Bukan Pilihan Hatimu”, “Ku Ingin Selamanya”, “Sayang”, “Bila Tiba”, “Andai Ku Tahu”, “Berjanjilah”, “Kekasih Gelapku”, “Demi Waktu”, “Hampa Hatiku” dan “Seperti Mati Lampu”.
Malam turut bertambah istimewa dengan kehadiran Aida Jebat yang bergandingan bersama Pasha menerusi dua lagu duet “Tercipta Untukku” dan “Bismillah Cinta”, memukau peminat dengan kehangatan persembahan mereka.
Konsert ini sepatutnya ditutup dengan lagu “Hampa Hatiku”, namun dek sorakan penonton yang enggan berpisah, Ungu kembali semula ke pentas bagi persembahan encore menerusi lagu “Seperti Mati Lampu” yang disampaikan penuh bertenaga sebagai penutup malam yang penuh emosi.
Pasha turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua peminat Malaysia dan Indonesia yang tidak pernah jemu menyokong mereka sehingga kini.
Konsert anjuran Idea dan Apex Venture Global (AVG) Entertainment Sdn Bhd itu bukan sekadar membuktikan kehebatan Ungu di pentas muzik serantau, malah menegaskan bahawa cinta peminat Malaysia terhadap Ungu tidak pernah pudar walau masa berlalu.
Symphony Of Ungu bukan sekadar malam muzik, tetapi lambang kasih dan kenangan indah yang terus terpahat dalam ingatan peminat Malaysia.