‘Symphony Of The Seven Scrolls’ MPO Hidupkan Legenda Puteri Gunung Ledang
- oleh Mohd Indera
- 12 Sep 2025 11:52 am

Legenda agung Puteri Gunung Ledang kembali diangkat ke pentas apabila Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) mempersembahkan konsert bertema “Symphony of the Seven Scrolls” di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), 18 Oktober ini.
Menggabungkan keindahan muzik orkestra dengan penceritaan klasik Melayu, konsert ini menyingkap semula kisah mistik Puteri Gunung Ledang yang penuh simbolik melalui tujuh watikah permintaan kepada Sultan Melaka.
MPO di bawah pimpinan Konduktor Residen Gerard Salonga, MPO akan mempersembahkan karya klasik termasuk Symphony No.1 (Mahler), Scheherazade (Rimsky-Korsakov), Morning Mood (Grieg), Romeo & Juliet Suite (Prokofiev), Night on Bald Mountain (Mussorgsky), Nocturnes (Debussy) dan Firebird: Finale (Stravinsky).
Menurut kenyataan MPO, Konsert itu menampilkan pelakon Nadia Aqilah sebagai pencerita yang membawakan kisah rakyat tersebut dalam tujuh segmen, dengan sentuhan kreatif koreografer terkenal Pat Ibrahim sebagai pengarah kreatif.
“Penonton akan turut disajikan dengan gubahan baru lagu-lagu rakyat seperti Chan Mali Chan,Jong Jong Inai dan Rasa Sayang, serta sebuah lagu patriotik popular, Tanah Pusaka. Pengalaman konsert akan diserlahkan lagi dengan penampilan Pewaris Seni Anak Tari dan Precision Movement Dance Group.” katanya.
Harga tiket bermula daripada RM98 hingga RM138, manakala tiket suite berharga antara RM148 hingga RM158 seorang. Pakej lawatan sekolah turut ditawarkan dengan diskaun antara 10 hingga 20 peratus.
Maklumat lanjut serta tempahan boleh dibuat melalui Box Office DFP di talian 03-23317007 atau e-mel [email protected]
.