“Symphony from the Heart”: Andi Rianto Luah Emosi Melalui Muzik Terbarunya
- oleh Mohd Indera
- 2 hari lalu

Komposer Andi Rianto kembali dengan buah tangan terbarunya, sebuah album penuh emosi bertajuk Symphony from the Heart.
Diterbitkan oleh Universal Music Indonesia, album ini bukan sekadar koleksi lagu, tetapi manifestasi rasa hati dan pengalaman hidup yang diterjemahkan melalui muzik.
Menurut Andi, album ini mencerminkan dirinya secara peribadi – siapa dia sebagai pemuzik dan insan.
“Album ini menggambarkan genre muzik saya. Jadi, kepada orang yang ingin tahu tentang saya, jawapannya boleh ditemui dalam album ini,” katanya.
Symphony from the Heart menampilkan sebelas buah lagu, sembilan daripadanya merupakan karya popular yang pernah mendapat tempat di hati peminat, termasuk Bahasa Kalbu, Sang Dewi, dan Mengejar Matahari.
Namun yang mencuri perhatian ialah dua lagu baharu berjudul Sampai Di Sini dan Kau Selalu Di Hati.Lagu Kau Selalu Di Hati, nyanyian duet antara Lyodra dan Rony Parulian, dipilih sebagai sorotan utama album.
Lagu pop balada ini mengisahkan cinta tulus dua insan, disusun dengan harmoni yang indah dan diiringi string section daripada Budapest Scoring Orchestra. Hasilnya, satu karya megah yang sarat dengan emosi dan suasana romantis.
Sementara itu, Sampai Di Sini pula merupakan karya khas ciptaan Andi untuk Rony Parulian, menonjolkan kekuatan vokal serta emosi yang mendalam. Kedua-dua lagu ini lahir daripada chemistry kuat antara Andi dan para penyanyinya, hasil kolaborasi berulang dalam projek sebelum ini.
“Saya dan Lyodra serta Rony memang sering bekerjasama. Ketika mencipta lagu ini, kami lakukan sesi latihan vokal secara santai, dan dari situ tercetusnya idea dan lagu yang ikhlas dari hati,” jelas Andi.
Menariknya, Lyodra dan Rony turut menyumbang dalam penulisan lirik, menghasilkan hasil yang selari dengan melodi dan emosi lagu. Proses kreatif yang jujur inilah yang menjadi tunjang kekuatan album Symphony from the Heart.
Bagi Andi Rianto, album ini bukan sekadar projek muzik – ia adalah legasi peribadi.
“Saya harap semua lagu dalam album ini mampu menyentuh hati pendengar dan menjadi peringatan bahawa seni yang benar-benar bermakna datang dari kejujuran,” ujarnya.
Symphony from the Heart kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital, dan dijangka menjadi antara karya paling menyentuh hati tahun ini.