Syazwan Razak Dan Athalia Ganding Dalam ‘BF Green Flag’ Siri Original Pertama MYTV
- oleh MDaily Editor
- 13 Nov 2025 12:01 pm
Platform penstriman tempatan, MYTV Mana-Mana terus memperkukuh kedudukannya dalam arena hiburan digital dengan memperkenalkan siri original pertama di bawah jenama MYTV Originals berjudul BF Green Flag.
Siri 20 episod berdurasi tujuh minit ini akan mula ditayangkan pada 13 November, setiap hari Khamis jam 12.00 tengah hari, eksklusif di aplikasi MYTV Mana-Mana.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MYTV, Mohamad Helmi Harith, pelancaran MYTV Originals menandakan langkah strategik syarikat dalam memperkukuh ekosistem kreatif tempatan.

“Sudah tiba masanya MYTV bukan sahaja menjadi platform penyiaran, tetapi juga pemangkin kepada kebangkitan kandungan tempatan yang segar, autentik dan relevan dengan penonton masa kini,” katanya dalam majlis perlancaran di Studio Village, Kuala Lumpur, semalam.
Beliau yakin BF Green Flag akan mendapat tempat di hati penonton, terutamanya generasi muda, kerana tema dan mesej yang dekat dengan kehidupan harian mereka.
Penerbit Eksekutif Astra Entertainment, Dato’ Rozaidi Baharudin, pula berkata siri ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi membawa nilai dan mesej positif.
“BF Green Flag mengangkat isu trauma, kepercayaan dan cinta yang sihat, di samping membuka ruang kepada pelakon muda untuk menyerlah melalui kisah yang dekat dengan jiwa mereka,” ujarnya.

BF Green Flag menampilkan gandingan pertama kali antara pelakon berbakat, Syazwan Razak dan Athalia, yang tampil mencetuskan emosi romantik segar di layar.
Syazwan membawakan watak Alfa, lelaki matang dan berprinsip, manakala Athalia yang sebelum ini dikenali sebagai penyanyi, membuat penampilan sulungnya sebagai pelakon menerusi watak Adella.
Turut membintangi siri ini ialah Azhan Rani, Dafi, Syahmie Thsa-Qeef, Amir Mirza, Khaleed Asyarief, Uchee Fukada, Iman Suhana dan Dottie Syuhada, selain penampilan istimewa pempengaruh popular seperti Ryan Bakery, Farihinarnia dan WanChai.

Kisah BF Green Flag berkisar tentang Adella, seorang wanita yang trauma selepas melalui hubungan toksik. Namun, hidupnya berubah apabila dia bertemu Alfa, jejaka yang diperkenalkan oleh makciknya. Dari curiga menjadi percaya, kisah mereka membawa penonton melalui perjalanan penyembuhan dan keberanian untuk kembali mencintai.
Lebih daripada sekadar kisah cinta, naskhah arahan Kamal Husni dengan skrip oleh Faten Syamimie ini turut menyentuh isu kesihatan mental dalam kalangan remaja dan orang muda, khususnya kesan trauma akibat hubungan tidak sihat.
Menambah emosi penceritaan, siri ini turut menampilkan lagu tema berjudul Hanya Namamu Cinta nyanyian Dafi, yang dirakam semula dengan nafas baharu khas untuk BF Green Flag.
Saksikan BF Green Flag bermula 13 November, setiap hari Khamis, jam 12.00 tengah hari, hanya di MYTV Mana-Mana.




