Syarifah Sakinah Sanggup Tampil ‘Buruk’ Demi Jayakan Watak Dalam Tiket Sehala
- oleh MDaily Editor
- 2 Mar 2026 10:24 pm
Tiada istilah mementingkan kecantikan diri apabila pelakon versatil, Syarifah Sakinah, sudah meletakkan sasaran untuk memberikan komitmen 100 peratus buat watak yang digalasnya dalam filem terbaharu, Tiket Sehala.
Demi menghidupkan watak sebagai seorang wanita ‘overachiever’ yang bercita-cita tinggi untuk keluar dari zon selesa, Sakinah sanggup mengubah penampilan wajahnya sehingga kelihatan tidak menarik, malah sanggup tampil ‘buruk’ bagi menepati tuntutan naskhah berkenaan.
Menurut pelakon itu, dia sendiri yang melakukan rekaan karakter (character design) bagi watak tersebut agar kelihatan lebih realistik dengan penceritaan yang berat.
“Saya memang mahu keluar daripada zon selesa. Dalam filem ini, saya tidak fikir soal cantik. Saya beritahu pengarah, saya mahu jadi yang paling buruk sekali.
“Contohnya, saya letak kertas hitam pada gigi untuk nampakkan kesan kotor atau tidak terurus. Bagi saya, apabila kita berlakon, kita perlu berani mencuba perkara baharu yang aneh supaya watak itu benar-benar hidup,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Tiket Sehala, di Confetti KL, di sini, hari ini.

Tambah Sakinah, selain cabaran mengubah penampilan, penggambaran di Korea Selatan yang dilakukan dalam cuaca sejuk melampau turut menguji ketahanan mental dan fizikalnya.
“Suhu di sana mencecah negatif 15 darjah Celcius. Bayangkan, dengan pakaian yang tidaklah setebal mana kerana tuntutan babak, kami perlu beraksi sebaik sahaja kamera berputar.
“Itulah Syarifah Sakinah, lagi mencabar sesuatu watak itu, lagi saya suka. Walaupun suasana penggambaran sangat dingin, tetapi kami bekerja seperti sebuah keluarga. Pelakon luar negara yang terlibat juga sangat merendah diri dan profesional,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengarah Tiket Sehala, Rahila Ali, menegaskan bahawa pemilihan barisan pelakon, termasuk Sakinah, dilakukan sepenuhnya melalui sesi uji bakat yang ketat tanpa sekadar mengharapkan populariti nama besar semata-mata.

“Kita tidak sekadar mengambil pelakon popular. Semuanya melalui proses uji bakat. Untuk watak heroin, saya memerlukan seseorang yang memiliki karakter unik dan Sakinah menepati kriteria tersebut.
“Mengenai pemilihan pelakon antarabangsa pula, cabaran utamanya adalah budaya kerja dan halangan bahasa. Namun, saya kagum dengan disiplin mereka. Mereka sangat terbuka untuk berbincang sebelum dan selepas penggambaran.
“Walaupun berdepan dengan suhu yang sangat sejuk di Korea, semangat mereka sangat luar biasa,” jelas Rahila.
Rahila turut menambah bahawa gabungan pelakon dari Malaysia, Korea Selatan, Thailand, dan Indonesia adalah satu strategi kreatif untuk memberikan impak global kepada filem ini.
“Filem ini diinspirasikan daripada kisah benar mengenai sindiket penipuan kerja yang kini menjadi masalah global. Kami mahu menunjukkan kesan dan akibat yang nyata apabila seseorang itu menjadi mangsa.
“Dengan gabungan bakat pelbagai negara, ia memberikan pengalaman baharu kepada kru produksi tempatan untuk meningkatkan kualiti filem kita pada masa akan datang,” katanya lagi.
Tiket Sehala terbitan Key Billions Sdn. Bhd. dijangka menemui penonton di pawagam pada Ogos ini.
FOTO: Sukie Hj Bebit.




