
Penyanyi versatil, Syamel mempertaruhkan sepenuh jiwanya dalam single terbaharu berjudul “Beribu Tanda Tanya”, sebuah karya penuh emosi dan makna yang menggambarkan keresahan hati serta persoalan cinta yang tidak terjawab.
Dicipta sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim yang bertindak sebagai penulis lirik, komposer dan penerbit, lagu ini menampilkan sisi kematangan Syamel sebagai penyanyi yang mampu menggabungkan kekuatan vokal dan penghayatan mendalam.
Menurut Syamel, “Beribu Tanda Tanya” bukan sekadar lagu, tetapi sebuah luahan rasa tentang pertanyaan dan kekeliruan yang menghantui seseorang apabila hubungan terhenti tanpa jawapan.
“Lagu ini menggambarkan keadaan seseorang yang dihantui tanda tanya, antara ingin tahu dan takut menerima kenyataan. Ia penuh emosi, harapan, dan kesedihan yang sukar diluahkan dengan kata-kata,” jelas Syamel.
Menariknya, keseluruhan proses rakaman dijalankan di Voltalab Sound Studio, Manchester, United Kingdom, di bawah kendalian Edry Abdul Halim. Lagu ini merupakan hasil usahasama antara Universal Music Malaysia dan Alternate Records.
“Saya anggap ini antara lagu paling ‘mahal’ pernah saya hasilkan. Semua proses dari rakaman, penyusunan muzik hingga pembikinan visualizer dilakukan sepenuhnya di Manchester. Ia pengalaman luar biasa kerana studio ini pernah digunakan oleh kumpulan legenda seperti Oasis. Saya rasa dihormati dapat rakam di sana,” kata Syamel.
Bagi Syamel, “Beribu Tanda Tanya” mencabar dirinya dari segi teknik dan emosi, memerlukan fokus tinggi untuk menjiwai setiap bait lirik yang penuh perasaan.
“Edry banyak memberi tunjuk ajar tentang cara mengawal emosi ketika menyanyi. Saya perlu benar-benar rasa setiap perkataan agar mesejnya sampai kepada pendengar,” ujarnya.
Lebih istimewa, lagu ini turut dipilih sebagai lagu tema (OST) untuk drama bersiri terbaharu Doa Yang Terlindung yang bakal ditayangkan di Media Prima tidak lama lagi.
“Saya rasa bersyukur kerana lagu ini diberi kepercayaan untuk menjadi OST. Ia selari dengan jalan cerita drama yang sarat konflik dan air mata,” tambahnya.
Mengakhiri perkongsian, Syamel berharap “Beribu Tanda Tanya” menjadi karya yang kekal relevan dan mampu meninggalkan kesan mendalam kepada pendengar.
“Saya harap lagu ini boleh jadi evergreen, lagu yang terus hidup dalam jiwa peminat. Kadang-kadang dalam hidup, kita memang tidak akan dapat semua jawapan, dan itu yang menjadikan setiap persoalan lebih bermakna,” katanya.
Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama.