Ikuti Kami:

Syah Inteam ‘Buka’ Jendela Hafsah, Single Solo Pertama

Syah Inteam ‘Buka’ Jendela Hafsah, Single Solo Pertama

Anggota kumpulan nasyid popular Inteam, Syah, kini melangkah setapak lagi dalam kerjaya seninya dengan mempertaruhkan single solo pertama berjudul Jendela Hafsah.

Karya yang sarat dengan elemen sejarah dan emosi itu mengangkat kisah cinta serta kerinduan agung Ummul Mukminin, Sayidatina Hafsah binti Umar r.a. terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Syah atau nama sebenarnya Mohd Syahril Ab Khalid, 45, berkata, lagu ini mempunyai keunikan tersendiri kerana ia menceritakan tentang sebuah jendela di Masjid Nabawi, Madinah yang kekal terbuka sehingga ke hari ini.

“Jendela tersebut terletak tepat di hadapan makam Rasulullah SAW dan ia tidak pernah ditutup sejak zaman Sayidatina Hafsah sebagai simbol cinta abadi beliau kepada Baginda.

“Ia adalah wasiat Sayidatina Hafsah agar beliau dapat terus menatap makam suaminya (Rasulullah) dan wasiat ini dihormati serta dijaga oleh setiap pemerintah dari zaman ke zaman. Kisah inilah yang cuba saya abadikan dalam bentuk lagu,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mengulas mengenai pengalamannya merakamkan lagu berkenaan, Syah mengakui berdepan debaran memandangkan ini merupakan naskhah solo pertamanya sepanjang penglibatan dalam industri nasyid.

“Ini kali pertama saya menyanyi secara solo dan jujurnya cabaran itu sangat terasa. Debaran menyanyikan lagu ini sangat mencabar, lebih-lebih lagi ia menyentuh perihal isteri Rasulullah yang sangat mulia.

“Saya perlu memastikan emosi dan penyampaian itu sampai agar pendengar dapat merasai kecintaan yang cuba disampaikan,” ujarnya lagi.

Jendela Hafsah merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Syah sendiri, manakala liriknya mendapat sentuhan penulis lirik prolifik, ITO Lara.

Lagu yang telah diterbitkan pada Disember lalu itu kini boleh didapati di semua platform penstriman digital, manakala video lirik rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Inteam Digital.

Melalui naskhah ini, Syah berharap ia bukan sekadar halwa telinga, malah menjadi medium dakwah dalam meningkatkan kecintaan umat Islam terhadap Rasulullah SAW dan ahli keluarga Baginda.

Komen
Loading...