Sweet Qismina dan Adam Lee Pilih Berdiam, Enggan Terpalit Isu Kontroversi
- oleh Mohd Indera
- 6 hari lalu
Pasangan selebriti Sweet Qismina dan Adam Lee yang baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan kedua mereka pada 24 Oktober lalu mengambil pendekatan berdiam diri tanpa memberi sebarang ulasan mengenai isu-isu kontroversi yang sering melanda industri hiburan.
Keputusan ini, menurut Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 27, adalah demi menjaga ketenangan dalam kehidupan peribadi mereka.
Menurut Sweet, beliau percaya bahawa menjaga hal peribadi dan mengelakkan diri dari terlibat dengan sebarang kontroversi adalah lebih utama.
“Apa-apa sahaja yang berlaku dalam industri, sama ada melibatkan rakan baik atau tidak, kami ambil pendirian untuk tidak menyokong mana-mana pihak atau berkongsi pandangan.
“Kami juga ada aib sendiri untuk dijaga, dan ada rezeki yang Allah tengah pelihara buat kami. Jadi, lebih baik kami tidak mengulas apa-apa dan mengelak dari terkena tempias,” jelasnya.
Pasangan ini ditemui ketika menghadiri majlis pelancaran filem terbaharu mereka bertajuk Babah yang berlangsung di Petaling Jaya pada Isnin lalu.
Adam Lee atau nama penuhnya Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee, 30, turut bersetuju dengan pandangan isterinya.
Beliau menyatakan kebimbangannya sekiranya mereka sendiri mungkin mengalami perkara serupa dalam hubungan mereka suatu hari nanti.
“Kita tak tahu apa yang akan terjadi dalam hubungan kami kerana semua itu adalah ketentuan Allah. Lagipun, industri ini kecil dan pasti akan bertemu orang yang sama pada masa akan datang,” katanya.
Sepanjang dua tahun menjadi suami, Adam mengakui bahawa perkahwinan telah membawanya mendekati agama dan berubah menjadi seorang yang lebih tenang.
“Saya rasa lebih tenang selepas berkahwin. Sekarang, fokus saya lebih kepada perkara-perkara yang penting. Status sebagai suami itu besar dan memerlukan komitmen yang mendalam. Kini, saya semakin dekat dengan agama dan banyak mendengar ceramah untuk belajar,” ujarnya.