Ikuti Kami:

Susulan Pelajar Berkelambu Dalam Hutan Demi Internet, SKMM Akan Membuat Tinjauan

Susulan Pelajar Berkelambu Dalam Hutan Demi Internet, SKMM Akan Membuat Tinjauan

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini dalam kenyataan media berkata akan membuat tinjauan selepas tular kisah berkenaan pelajar dari Sarawak yang terpaksa berkelambu di dalam hutan, demi mendapatkan liputan Internet.

BACA : Pelajar Sarawak Pula Berkelambu Dalam Hutan Demi Internet

Tinjauan akan dibuat di sebuah perkampungan di Pakan, Sarawak dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan gambaran sebenar liputan perkhidmatan komunikasi di kawasan itu.

“Hasil tinjauan akan dipadankan dengan pelan pembangunan telekomunikasi yang telah dirancang untuk kawasan tersebut bagi membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan komunikasi berkualiti, sekali gus memperbaiki taraf kehidupan mereka,” kata kenyataan itu.

Menurut SKMM, setakat ini sebanyak 185 menara telekomunikasi baharu di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP 2) akan mula dibina meliputi semua bahagian di Sarawak dan daripada jumlah itu, tujuh dirancang untuk dibina di Pakan, kesemuanya dijangka siap serta beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga 2021.

SKMM juga sedar masih terdapat banyak kawasan yang belum mendapat liputan komunikasi menyeluruh dan stabil terutamanya di kawasan luar bandar.

“Selain bentuk muka bumi yang berbukit-bukau dan laluan masuk yang sukar, masalah ketiadaan bekalan elektrik juga menjadi cabaran kepada SKMM dan syarikat telekomunikasi untuk membina menara di kawasan pedalaman.

“Antara kaedah alternatif yang diguna pakai bagi mengatasinya ialah penggunaan rangkaian satelit dan bekalan janakuasa diesel yang menyebabkan liputan tidak stabil,” katanya.

Sehubungan itu, SKMM menegaskan ia komited dengan misi untuk menyediakan perkhidmatan komunikasi yang menyeluruh kepada rakyat, terutamanya di kawasan luar bandar dalam usaha merapatkan jurang digital di seluruh negara.

Sebelum ini tular video pelajar dari Sabah yang sanggup panjat pokok demi mendapatkan liputan internet yang terus mendapat maklumbalas dari SKMM.

BACA : Gigih Pelajar Sabah Ini Panjat Pokok Jawab Peperiksaan Online

Komen
Loading...