Suria FM & Yaya Empire Hadirkan ‘Hayati’, Drama Raya Sarat Emosi
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu

Suria FM bersama Yaya Empire Perfume dengan bangganya mempersembahkan drama raya eksklusif bertajuk Hayati, sebuah karya berani yang mengangkat tema kesihatan mental dan emosi dalam suasana perayaan.
Drama ini membawa kisah penuh emosi yang menyentuh hati penonton dan diharap memberi impak mendalam kepada masyarakat.
Dengan durasi selama 40 minit, Hayati membawa penonton menelusuri perjalanan jiwa yang penuh cabaran selepas satu kemalangan tragis pada malam raya yang mengubah kehidupan beberapa individu.
Dalam usaha memaafkan diri sendiri dan melangkah ke hadapan, mereka terpaksa menghadapi konflik dalaman yang mencetuskan pergelutan antara realiti dan imaginasi.
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, drama ini merupakan projek terbesar Suria FM dari segi skala dan tempoh penggambaran.
“Sejak 2019, Suria FM telah menerbitkan tujuh drama raya, dan kali ini kami membawa sesuatu yang berbeza dengan Hayati. Idea dan skrip drama ini telah digarap sejak September 2024 dan mendapat persetujuan Yaya Empire Perfume pada November 2024. Kami berharap ia memberi impak mendalam kepada penonton dengan mesej tentang kepentingan kesihatan mental,” katanya.
Kolaborasi bersama Yaya Empire Perfume menjadikan drama ini lebih istimewa, dengan pengasas jenama, Puan Nadia Mat Isa turut membuat penampilan khas dalam Hayati.
“Sebagai individu yang menghargai seni dan budaya, saya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Suria FM dalam menyampaikan hiburan berkualiti dengan nilai murni. Tema ‘Sebuah Perjalanan Jiwa’ dalam drama ini memberi peluang untuk kami mengetengahkan mesej kekeluargaan, emosi, kehilangan, dan kasih sayang yang sangat relevan pada musim perayaan,” katanya.
Drama ini turut dibintangi oleh pelakon hebat seperti Sherie Merlis, Hasnul Rahmat, Cik Man, Anas Ridzuan, dan Hawra Jamalullail.
Turut menjayakan Hayati adalah penyanyi popular Ara Johari dan Adam ZBP, serta pempengaruh terkenal, Mia Azahar.
Dalam menghasilkan drama ini, cabaran utama yang dihadapi pasukan produksi termasuk penggambaran babak bas yang mengambil masa tiga hari serta cuaca yang tidak menentu.
Penggambaran dilakukan selama tujuh hari di sekitar Lembah Klang, dengan banyak babak dirakam pada waktu malam hingga awal pagi bagi memastikan visual yang terbaik.
Bagi melengkapkan penceritaan Hayati, lagu Pentas Sandiwara nyanyian Fugo diangkat sebagai lagu tema rasmi.
Dengan lirik yang menyentuh perasaan, lagu ini berjaya mendapat perhatian pendengar, terutamanya golongan muda. Muzik video khas lagu ini juga telah diterbitkan dengan latar belakang babak dari drama Hayati.
Jangan lepaskan peluang untuk menonton drama Hayati yang bakal ditayangkan di Facebook Suria FM dan YouTube Suria TV pada 20 Mac 2025, jam 12 tengah hari.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Suria FM di suria.my atau ikuti media sosial Suria FM di Instagram, Facebook, TikTok, YouTube, dan X (@suriamalaysia).