Suri Rumah Bawa Pulang RM200,000 Menerusi ‘AFFIN Dream Box’ Bulan Bintang Terrrpaling Raya
- oleh MDaily Editor
- 6 Mar 2026 2:19 am
Hasrat hati hanya mahu membeli sepasang baju kurung sempena sambutan Aidilfitri tidak disangka membawa tuah luar biasa buat seorang suri rumah, Nurul Aqilah Radzuan, 33, apabila memenangi hadiah berjumlah RM200,000 menerusi kempen Bulan Bintang Terrrrpaling Raya powered by AFFIN.
Kejayaan Nurul Aqilah, ibu kepada dua cahaya mata yang berasal dari Taiping, Perak itu sekali gus menobatkan beliau sebagai antara penerima hadiah utama dalam ‘AFFIN Dream Box’ yang mendapat kerjasama strategik daripada Affin Islamic Bank Berhad.
Mengimbau detik gembira itu, Nurul Aqilah mengakui beliau pada mulanya langsung tidak percaya dengan keputusan yang terpapar selepas mengimbas kod QR pada bungkusan pakaian yang dibelinya secara dalam talian.

“Saya beli baju kurung itu sebab tertarik dengan promosi percuma tumbler. Apabila sampai, saya buka kotak, tengok tumbler, kemudian baru buka baju dan cuba pakai. Selepas itu, saya imbas kod QR tersebut dan terpandang angka yang banyak kosong di belakang.
“Saya tenung lama, ingatkan RM200 sahaja, tetapi apabila melihat jumlah sebenar, saya terus mengambil tangkapan skrin dan hantar kepada suami untuk pengesahan. Saya masih dalam keadaan tidak percaya sehingga pihak Bulan Bintang menghubungi saya,” katanya semasa majlis penyerahan hadiah di Menara AFFIN, TRX, di sini, pada Selasa.
Bagi Nurul Aqilah, kemenangan ini disifatkan sebagai rezeki Ramadan yang sangat bermakna buat keluarganya dan beliau berhasrat menggunakan wang tersebut untuk keperluan masa depan serta impian yang selama ini terpendam.

Turut hadir bagi menyempurnakan majlis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Dato’ Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin (kiri).
Sementara itu, pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi atau lebih dikenali sebagai Meri, menjelaskan bahawa konsep ‘Dream Box’ diperkenalkan sebagai langkah inovatif bagi mengelakkan perbandingan hadiah fizikal yang sering membelenggu dirinya setiap tahun.
“Tahun-tahun sebelum ini, orang sering membandingkan nilai hadiah yang saya berikan. Saya terfikir, tidakkan setiap tahun saya perlu memberikan hadiah fizikal yang lebih mahal? Jadi, idea ‘Dream Box’ ini timbul supaya pemenang boleh menentukan sendiri impian atau kemahuan mereka.
“Kolaborasi bersama Affin Islamic Bank ini juga membolehkan kami melebarkan profil pelanggan dan membuktikan bahawa Bulan Bintang adalah jenama yang sentiasa ingin berkongsi rezeki dengan pelanggan setia kami,” ujarnya.

Menjawab mengenai dakwaan sesetengah pihak yang menganggap kempen tersebut sebagai ‘scam’ kerana terlalu mudah untuk dimenangi, Meri menegaskan bahawa ketelusan adalah keutamaan pihaknya.
“Mekanisme kempen ini sangat mudah. Pelanggan hanya perlu membeli mana-mana barangan serendah RM109, imbas kod QR, dan keputusan keluar secara terus. Kami tidak mahu pelanggan menunggu lama atau perlu melalui proses cabutan yang rumit.
“Inilah kekuatan kempen ini, biar pelanggan sendiri merasai pengalaman menang secara terus tanpa perlu keraguan,” jelasnya lagi.
Kempen ini menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk Affin Dream Box bernilai RM500,000 dan Duit Raya Affin Bank berjumlah RM400,000, selain sumbangan hadiah daripada jenama seperti Dr. Cardin, Tealive dan Tabung Haji Travel & Services.
Kolaborasi meluas ini dilihat sebagai satu pencapaian luar biasa yang jarang berlaku dalam industri fesyen tempatan.




