Suntikan Mounjaro Batal Puasa? Ini Penjelasan Dr. Zulkifli Al-Bakri
- oleh MDaily Editor
- 19 Feb 2026 5:06 pm
Penggunaan ubat-ubatan moden dalam kategori Glucagon-like Peptide-1 (GLP-1) seperti Mounjaro dan Liraglutide untuk tujuan rawatan diabetes atau penurunan berat badan pada siang hari Ramadan kini menjadi perhatian.
Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui portal rasmi beliau telah memberikan pencerahan khusus mengenai status hukum suntikan ini bagi individu yang sedang berpuasa.
Menurut Dr. Zulkifli, ubat jenis ini berfungsi membantu pankreas mengeluarkan insulin secara optimum. Insulin berperanan sebagai pembawa gula dalam darah untuk diedarkan ke dalam tisu badan sebagai sumber tenaga.
Oleh itu, memandangkan proses ini secara tidak langsung membekalkan tenaga kepada tubuh badan, beliau mengkategorikan suntikan tersebut sebagai suntikan yang memberi tenaga (mughazzi).
Berdasarkan fungsi tersebut, Dr. Zulkifli berpandangan bahawa:
Membatalkan Puasa: Suntikan Liraglutide (atau Mounjaro) pada siang hari Ramadan adalah membatalkan puasa kerana ia bersifat memberi tenaga (mughazzi) kepada pesakit.
Langkah Berhati-hati: Sebagai langkah ihtiyati (berhati-hati), pesakit tidak digalakkan mengambil suntikan ini ketika sedang berpuasa.
Bagi pesakit yang memerlukan rawatan ini sepanjang bulan Ramadan, Dr. Zulkifli menyarankan agar Suntikan dilakukan pada malam hari.
Pesakit mestilah mendapatkan pandangan dan nasihat doktor terlebih dahulu untuk mengubah jadual waktu suntikan bagi memastikan rawatan tetap berkesan tanpa menjejaskan ibadah puasa.
Umat Islam dinasihatkan untuk tidak mengambil ringan status suntikan ubat yang mempunyai unsur pembekalan tenaga.
Walaupun ia dilakukan melalui kulit (subkutan) dan bukannya rongga terbuka, sifatnya yang memberi tenaga kepada tubuh menjadi faktor utama yang boleh membatalkan puasa menurut pandangan beliau.
Rujukan : https://zulkiflialbakri.com/artikel/suntikan-liraglutide-semasa-berpuasa/




