Sumpahan Nilam Utama: Komedi-Thriller Remaja Temui Misteri di Sekolah
- oleh MDaily Editor
- 19 Nov 2025 7:01 pm
Infinitus Productions mengumumkan bakal menerbitkan filem komedi-thriller terbaharu mereka, Sumpahan Nilam Utama, yang menggabungkan elemen coming-of-age, penyiasatan, dan misteri ghaib.
Filem ini kini berada dalam fasa penggambaran dan dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara pada tahun 2026.
Diarahkan oleh Hyrul Anuar, yang terkenal menerusi 3 Janda Melawan Dunia dan beberapa iklan komersial kreatif, filem ini menampilkan barisan pelakon gabungan bakat muda dan veteran, termasuk Idan Aedan, Razin Qidran, Farihin Arnia, Taufiq Izmir, Muizzuddin, Dato’ Tamimi, Ellie Suriaty, Dr. Rosdeen Suboh, Anas Ridzuan, Aloy Paradoks, dan Taqim Zaki.

Menurut Gayatri Su-lin Pillai, Penerbit Eksekutif Infinitus Entertainment, usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen syarikat untuk memperkukuh landskap sinema Malaysia dan menghasilkan karya yang relevan untuk semua lapisan penonton.
“Kami komited menghasilkan pelbagai genre filem yang boleh dinikmati semua penonton. Sumpahan Nilam Utama merupakan usaha kami menampilkan karya segar yang relevan. Hyrul Anuar membawa perspektif unik yang diyakini mampu menghidupkan penceritaan,” ujarnya.

Penerbit filem, Syahrul Imran, menjelaskan bahawa Sumpahan Nilam Utama mengisahkan empat pelajar tingkatan lima: Ilham, Hakim, Danial, dan Belon yang menyiasat misteri kebun manggis yang dikatakan berhantu.
“Namun apabila Suri, gadis pujaan Ilham, hilang, mereka terseret ke dalam rahsia gelap sekolah yang jauh lebih menakutkan daripada hantu yang mereka fikirkan,” kata beliau.
Dengan gabungan tenaga pelakon muda yang dinamik dan pengalaman pelakon veteran, Sumpahan Nilam Utama dijangka menjadi karya menarik yang mampu menghiburkan semua lapisan penonton.




