Ikuti Kami:

“Sumpah Setia” – Sentuhan Berbeza Bob Yusof Dalam OST Pasca Kau Pergi

“Sumpah Setia” – Sentuhan Berbeza Bob Yusof Dalam OST Pasca Kau Pergi

Penyanyi bersuara lunak, Bob Yusof, tampil dengan sisi baharu dalam kerjayanya menerusi lagu Sumpah Setia, yang kini menjadi lagu runut bunyi (OST) bagi drama popular TV3 Pasca Kau Pergi.

Tidak seperti kebanyakan lagu cinta biasa, Sumpah Setia mengangkat tema kasih sayang dan penghargaan seorang anak terhadap ibu bapa, menjadikannya lebih menyentuh emosi dan relevan dalam konteks kekeluargaan.

Lagu balada emosi ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh tiga komposer muda iaitu Emeer Bak, Amsyar Razqa dan Yunus Zawawi dan menjadi single kedua Bob Yusof bersama Alternate Records.

Pembikinan lagu ini turut disesuaikan dengan jalan cerita drama yang kini menerima tontonan tinggi dan sambutan hangat daripada penonton.

“Ini merupakan pengalaman yang cukup berbeza buat saya kerana melodi dan lirik lagu ini memerlukan penghayatan yang lebih dalam. Ia bukan tentang cinta pasangan, tetapi cinta anak kepada ibu dan ayahnya,” jelas Bob.

Menurut para komposer, idea asal lagu ini dicetuskan oleh Yunus Zawawi sebelum dikembangkan bersama dua rakan gandingannya. Mereka juga menyesuaikan lirik lagu agar sejajar dengan emosi dan naratif dalam drama Pasca Kau Pergi.

“Lagu ini menyentuh rasa syukur seorang anak terhadap ibu bapanya. Kami mahu beri sesuatu yang lain kepada penonton dan pendengar bukan sekadar cinta antara dua insan tetapi cinta keluarga yang sering dilupakan,” kata mereka.

Bob Yusof, yang juga dikenali sebagai cikgu vokal, menunjukkan komitmen tinggi sepanjang proses rakaman. Menurut pihak produksi, beliau sanggup merakam semula lagu ini selepas mendengar demo pertama demi memastikan hasil terbaik dapat dicapai.

“Walaupun beliau sangat berpengalaman, Abang Bob sangat merendah diri dan beri ruang untuk kami beri pandangan. Itu yang menjadikan proses ini sangat istimewa,” kata komposer muda tersebut.

Kini boleh distrim di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube, Sumpah Setia menjadi bukti evolusi Bob Yusof dalam menyampaikan lagu-lagu berjiwa selain memberi pentas kepada bakat muda dalam dunia penciptaan muzik.

“Sumpah Setia adalah lagu yang bukan sahaja mengangkat kisah dalam drama tetapi juga mencerminkan realiti kehidupan ramai anak di luar sana yang ingin menghargai ibu bapa mereka. Saya harap lagu ini menyentuh hati para pendengar,” ujar Bob.

Komen
Loading...