Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini memberi amaran akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta-merta jika berlaku lagi perebutan kuasa antara wakil rakyat negeri ini.
Sambil menzahirkan kekecewaan baginda, Sultan Ibrahim bertitah, amaran itu diberikan kerana masih berlaku kemelut politik di Johor yang menyaksikan terdapat pemimpin gila kuasa dan terus mahu merebut jawatan demi kepentingan diri mereka.
Titah baginda, dalam keadaan rakyat yang mengalami kesusahan sekarang, mereka ini langsung tidak mempedulikan rakyat dan sanggup menambahkan lagi derita rakyat.
“Saya tidak boleh tengok rakyat saya menderita dan tidak akan biarkan negeri saya dikucar-kacirkan.
“Saya telah bersumpah untuk menjaga dan membela nasib rakyat dan negeri saya pada setiap masa,” titah Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, sebentar tadi.
Justeru itu, sekiranya berlaku pembubaran DUN, Sultan Johor bertitah rakyat akan diberi peluang untuk memilih wakil mereka yang baharu.
“Saya harap kali ini pilihlah pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri, bukan untuk parti atau diri sendiri,” titah baginda.
Ini merupakan kali kedua Sultan Ibrahim memberi peringatan kepada wakil rakyat Johor berhubung kemelut politik negeri itu.
Kali pertama pada 14 Mei lepas apabila baginda mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri bahawa sekarang bukan masanya untuk bertegang urat dan bertikam lidah bagi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi kerana tindakan sebegitu akan melahirkan satu virus yang lebih berbahaya iaitu virus perpecahan.
“Virus ini nampaknya telah pun menular dalam kalangan pemimpin politik apabila berlakunya pergolakan dan perebutan kuasa yang merunsingkan rakyat serta menggugat kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negeri, ” titah baginda pada perasmian DUN pertengahan bulan lepas.
— BERNAMA