Ikuti Kami:

“SUKMA” Karya Seram Baharu Sarat Mistik Temukan Luna Maya dan Anna Jobling

“SUKMA” Karya Seram Baharu Sarat Mistik Temukan Luna Maya dan Anna Jobling

Selepas kejayaan luar biasa filem Lembayung yang mencatat kutipan lebih RM6 juta di Malaysia, pengarah dan pelakon terkenal Baim Wong kini kembali dengan karya seram terbaharunya berjudul SUKMA, yang bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 30 Oktober 2025.

Diterbitkan oleh Tiger Wong Entertainment, dibawakan oleh Suraya Filem dan diedarkan oleh GSC Movies, SUKMA menggabungkan elemen seram, mistik dan emosi, menampilkan kisah tentang kepercayaan lama dan pengorbanan keluarga yang diuji oleh kuasa ghaib.

Menurut Baim Wong, SUKMA bukan sekadar filem seram biasa, sebaliknya membawa mesej tentang kasih sayang dan kekuatan keluarga menghadapi cabaran luar jangka.

“Saya mahu penonton bukan hanya takut, tetapi turut tersentuh dengan mesej kemanusiaan dalam cerita ini. Setiap karakter mempunyai kisah dan jiwa tersendiri,” katanya ketika ditemui pada Majlis Malam Gala dan Sidang Media SUKMA yang diadakan di GSC Mid Valley Megamall, semalam.

Sementara itu, Luna Maya yang membawakan watak utama Arini mengakui SUKMA mungkin menjadi penampilan terakhirnya dalam genre seram selepas beberapa tahun banyak terlibat dengan filem bergenre sama.

“Ini mungkin filem seram yang terakhir saya kerana beberapa tahun kebelakangan ini saya banyak membintangi filem seram. Jadi untuk tahun-tahun mendatang, saya mungkin tidak akan terbabit dalam projek filem seram lagi .” katanya.

Pelakon Anna Jobling yang memegang watak Sari pula mendedahkan, penggambaran SUKMA memberikan pengalaman baharu apabila dia berpeluang melakukan aksi sendiri tanpa bantuan pelakon lagak ngeri.

“Untuk mendapat peluang melakukan aksi stunt sendiri sebenarnya bukan sesuatu yang mudah, kerana kebiasaannya babak berisiko akan dilakukan oleh pelakon lagak ngeri”

“Namun, apabila diberi kepercayaan oleh pihak produksi untuk melakukannya sendiri, Anna anggap ia satu cabaran besar dan peluang berharga untuk membuktikan kemampuan diri”

“Jadi, Anna berusaha sebaik mungkin untuk menjayakan babak tersebut dan memberikan hasil terbaik untuk filem ini,” ujarnya.

Filem ini mengisahkan Arini dan keluarganya yang berpindah ke sebuah bandar kecil untuk memulakan hidup baharu. Namun, kedamaian mereka musnah apabila menemui cermin purba yang menyimpan roh seorang wanita tua yang ingin menukar tubuhnya dengan Arini demi kecantikan muda.

Dalam ketegangan yang semakin memuncak, Arini perlu melawan kuasa jahat untuk menyelamatkan keluarganya daripada bencana.

Turut membintangi SUKMA ialah Fedi Nuril sebagai Hendra dan Christine Hakim sebagai Sri, melengkapkan gandingan mantap antara pelakon hebat dari Indonesia dan Malaysia.

Dengan jalan cerita yang penuh kejutan, sinematografi memukau dan lakonan berkesan, SUKMA dijangka menjadi antara filem seram paling dinanti tahun ini.

Filem SUKMA bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 30 Oktober 2025, menjanjikan pengalaman seram yang sarat emosi dan mistik.

Komen
Loading...