‘Suka Tak Suka Kena Buat Album’ – Jobranko Gesa Band Rock Bangkit
- oleh MDaily Editor
- 18 Dec 2025 12:21 pm
Pemain gitar Barbarik, JoBranko, menggesa kumpulan rock veteran dan perintis (pioneer) tanah air untuk kembali aktif menghasilkan album penuh bagi memastikan ekosistem industri muzik rock tidak terus malap dan mendatar.
Menurut bekas anggota Wings itu, penghasilan album bukan sekadar memenuhi tuntutan seni, malah ia merupakan ‘nadi’ yang mampu menggerakkan semula pelbagai cabang industri yang kini dilihat semakin lesu.
“Saya mahu industri rock kembali ceria. Kita nampak rock sekarang seakan mendatar, tapi pada saya sebenarnya tidak. Punca utamanya adalah kerana mereka (band lama) tidak buat album.
“Suka atau tidak, anda kena buat album. Mengapa budak-budak baru (band generasi baru) didengari? Sebab mereka buat album,” katanya.
JoBranko atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 56, menjelaskan, sekiranya band-band yang sudah mempunyai nama besar terus selesa tanpa karya baharu, ia akan memberi kesan negatif kepada pemain industri yang lain.

Barbarik dan JoBranko mempunyai visi yang sama dalam mengekalkan kualiti muzik rock bermutu tinggi.
Jelasnya pengasas Berbarik itu, kemunculan album baharu secara konsisten akan menghidupkan semula ‘mood’ peminat, sekali gus memberi limpahan rezeki kepada pemilik studio rakaman dan kedai instrumen muzik.
“Kalau band-band ‘pioneer’ ini terus buat album, saya rasa ia boleh membantu industri. Studio-studio rakaman akan kembali meriah. Malah, barangan gitar dan drum juga akan laku.
“Impak muzik rock ini luas, ia bukan sekadar permainan di atas pentas sahaja. Penjualan muzik dan perniagaan berkaitan akan berkembang. Itulah harapan saya,” tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pentas Barbarik Vol. 2 yang diadakan di The Heritage Club, Royale Chulan Kuala Lumpur, semalam.
Untuk rekod, Barbarik sebelum ini telah melancarkan album sulung mereka yang berjudul Peluru Cokelat pada hujung tahun lalu, sekali gus membuktikan kredibiliti mereka dalam memperjuangkan karya asli di pasaran muzik tempatan.
Dalam perkembangan sama, JoBranko bakal kembali menggegarkan peminat menerusi konsert Pentas Barbarik Vol. 2 yang dijadualkan berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada Sabtu, 21 Januari 2026.
Konsert tersebut dijangka akan membawa kelainan tersendiri dengan kemunculan Black, Eddie, Mel, Joget dan Karl Cromok.




