Sufie Rashid Lega Kes Tuntutan Saman Selesai, Mahkamah Perintahkan Ganti Rugi RM165,000
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Penyanyi dan penganjur konsert dari Singapura, Sufie Rashid, meluahkan rasa syukur apabila tuntutan saman berhubung kes penipuan yang melibatkan bekas rakan kongsi perniagaan beliau dan isteri, Nurulain Md Yusof, diselesaikan dengan baik di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pagi tadi.
Mahkamah memerintahkan bekas rakan perniagaannya membayar ganti rugi sebanyak RM165,000.
Menurut Sufie, walaupun kerugian sebenar yang dialaminya melebihi RM1 juta akibat kegagalan festival muzik yang dianjurkannya bersama bekas rakan kongsi dua tahun lalu, jumlah yang diputuskan mahkamah sedikit sebanyak memberi kelegaan.
“Kes saman ini sudah berlanjutan lebih setahun. Saya menjadi fobia untuk menganjurkan acara di Malaysia selepas festival pertama yang diadakan di Sepang mengalami kerugian besar. Saya telah ditipu lebih RM1 juta, namun atas dasar kawan, saya bersetuju untuk menuntut hanya RM500,000. Malangnya, setelah berbulan-bulan, tiada bayaran diterima,” jelas Sufie.
Katanya, kerugian tersebut berlaku atas nama syarikat yang didaftarkan menggunakan nama isterinya, memandangkan syarikat itu dimiliki oleh warganegara Malaysia. Mereka terpaksa mengambil tindakan undang-undang untuk membersihkan nama dan reputasi mereka.
“Kesan dari insiden ini, isteri saya terpaksa berdepan tekanan yang hebat. Klien mula mencari isteri saya, sehingga dia hampir tidak dibenarkan ke luar negara. Isteri saya mengalami ‘anxiety’, takut untuk keluar rumah dan bertemu orang,” ujar Sufie.
Walaupun jumlah ganti rugi RM165,000 tidak menampung keseluruhan kerugian, Sufie menegaskan tindakan saman itu bukan semata-mata untuk mendapatkan wang, tetapi sebagai pengajaran kepada pihak yang menipu mereka.
Sufie ditemui media semasa sidang media bagi konsert Aura: Ernie Zakri Live in Concert, di mana beliau mengumumkan bahawa tiket untuk konsert tersebut habis terjual dalam masa hanya 7 jam.
Konsert yang dinanti-nantikan ini dijadualkan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 25 Januari depan.
Hasil dari kejayaan konsert ini, Sufie, selaku penganjur melalui SAH Entertainment, mengumumkan konsert Ernie Zakri di Singapura pada bulan Jun tahun hadapan.