Suburkan Iman, Sebarkan Ihsan: Lebih 20 Program Khas Ramadan, Syawal Menanti Penonton TV AlHijrah
- oleh MDaily Editor
- 12 Feb 2026 7:17 pm
TV AlHijrah terus memperkukuh peranannya sebagai stesen penyiaran Islam utama negara dengan mempertaruhkan lebih 20 program khas sempena kehadiran Ramadan dan Syawal 1447H/2026M.
Membawa tema “Suburkan Iman, Sebarkan Ihsan”, rangkaian program tahun ini dirangka secara menyeluruh bagi menjadikan Ramadan sebagai ‘madrasah tarbiah’ yang membimbing penonton melalui proses pengukuhan iman dan penyucian jiwa.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata perancangan kandungan kali ini dilakukan lebih awal dengan analisis mendalam bagi memastikan setiap program kekal segar, relevan dan memenuhi selera penonton yang dinamik.
“Ramadan mempunyai corak tontonan yang berbeza, jadi strategi penyiarannya juga tidak boleh sama seperti bulan biasa. Kita membayangkan TV AlHijrah itu ‘bernafas’ seperti seorang insan yang berpuasa; ada pengisian yang sesuai dengan emosi dan keperluan rohani bermula dari waktu sahur hingga ke malam,” katanya pada Sidang Media Program Ramadan & Syawal 1447H/2026M di AC Hotel by Marriott, hari ini.
Antara program utama yang bakal menemui penonton termasuk Islah Ramadan, Tadarus On The Go, serta Quran Challenge yang bertujuan membudayakan al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, TV AlHijrah turut memperkenalkan inisiatif digital berskala besar menerusi platform Langit Dakwah. Langkah ini diambil bagi menyantuni audiens muda yang lebih cenderung mencari maklumat keagamaan di media sosial.
“Kita sedar realiti hari ini, golongan muda lebih dahulu mencari maklumat dakwah di platform digital. Sebab itu kita lancarkan Langit Dakwah yang menyediakan kandungan khusus untuk Facebook, TikTok dan Instagram, termasuk segmen Ramadan Quick Drop,” tambah Namanzee.
Menyentuh mengenai pengisian Syawal, stesen itu mengekalkan semangat penyatuan menerusi tema “Eratkan Kasih, Bertaut Sayang”. Antara yang menarik adalah telefilem istimewa seperti Menantu Datuk Nikah Kahwin dan Surat Dari Syurga, selain program kanak-kanak Jom Dengar Cerita Raya.
TV AlHijrah menyasarkan peningkatan tontonan sebanyak 10 peratus merentasi semua platform tahun ini, selepas mencatat kedudukan tiga teratas (Top 3) tontonan mingguan pada awal Ramadan tahun lalu.
“Kini ukuran kejayaan bukan lagi TV semata-mata. Kita nilai secara menyeluruh merangkumi TV, aplikasi dan semua platform digital. Aplikasi AlHijrah Plus kini mencecah sekitar 270,000 muat turun, dan tahun ini kita tambah pelaburan khusus untuk kandungan digital,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan pendekatan editorial TV AlHijrah kekal berteraskan etika penyiaran, nilai positif dan mesej membina.




