Suav, The Alif, BigTones, The Rudean Bersatu Di RockHauz Volume 1, Kemunculan Istimewa Edrie Hashim
- oleh MDaily Editor
- 21 May 2026 12:35 pm
Scene muzik Rock N Roll tempatan bakal menyaksikan satu anjakan baharu menerusi pelancaran pergerakan RockHauz, yang ditubuhkan khusus bagi menyuntik kesegaran semula terhadap genre tersebut dalam kalangan generasi muda di Malaysia.
Sebagai permulaan kepada usaha murni itu, acara gig ‘RockHauz Volume 1’ bakal menggegarkan ibu kota pada 13 Jun ini bertempat di BeKL, Cheras, dengan menghimpunkan empat kumpulan rock generasi baharu iaitu Suav, The Alif, BigTones, dan The Rudean.
Lebih menarik, acara tersebut turut menampilkan kemunculan istimewa legenda gitar tanah air yang juga pemain gitar kumpulan Wings, Edrie Hashim, sebagai tanda sokongan padu beliau terhadap kesinambungan legasi Rock N Roll negara.

Pengasas RockHauz yang juga pemain gitar kumpulan BigTones, Pidut, berkata idea penubuhan komuniti ini tercetus hasil cadangan daripada Edrie Hashim sendiri yang melihat keperluan mendesak untuk mewujudkan satu platform atau ‘rumah’ khas bagi peminat dan pemusik Rock N Roll.
“Walaupun berat untuk diakui, hakikatnya muzik Rock N Roll itu sendiri sudah semakin pudar dan hampir pupus dalam kalangan anak muda di Malaysia.
“Sebahagian generasi muda yang masih mengikuti perkembangan muzik rock era 70-an, 80-an, dan 90-an kini seolah-olah terasing kerana ketiadaan komuniti untuk berkumpul, memandangkan pasaran arus perdana sekarang lebih didominasi oleh band-band otai yang sedia ada seperti Search, Wings, Barbarik, Lefthanded, dan Cromok,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Pidut, tujuan utama RockHauz ditubuhkan adalah untuk mengumpul semua kumpulan rock di Malaysia, terutamanya pemusik baharu (newcomers), bagi memberikan pendedahan meluas kepada masyarakat bahawa genre ini masih mempunyai pelapis yang berkualiti.
Jelasnya lagi, RockHauz Volume 1 bukan sekadar sebuah persembahan gig biasa, sebaliknya ia merupakan titik permulaan kepada pembinaan sebuah perkampungan atau pangkalan rasmi buat semua penggiat dan peminat tegar Rock N Rollers di seluruh negara.
Pada malam pementasan itu nanti, kesemua band yang terlibat Suav, The Alif, BigTones, dan The Rudean dijangka bakal mempersembahkan identiti dan acuan ‘sound’ masing-masing yang unik demi membuktikan keupayaan mereka sebagai pewaris sah takhta rock tempatan.
Peminat yang ingin menyaksikan cetusan legasi baharu ini boleh mendapatkan tiket yang berharga RM33 untuk pas individu, manakala pakej berkumpulan (Group of 4) ditawarkan pada harga RM110.
Tiket kini sudah boleh dibeli secara dalam talian menerusi https://www.cloudjoi.com/shows/6155-rockhauz-volume-1.
