‘Suasana Raya’: Ernie Zakri, Syamel Mahu Pendengar Rasa Kehangatan Aidilfitri
- oleh MDaily Editor
- 28 Feb 2026 12:58 pm
Pasangan seni yang sinonim dengan keserasian vokal luar biasa, Ernie Zakri dan Syamel, kembali mengubat rindu peminat dengan buah tangan terbaharu sempena Aidilfitri berjudul, Suasana Raya.
Lagu yang menggabungkan elemen melodi klasik raya dengan suntikan susunan muzik moden ini bukan sekadar karya hiburan biasa, malah ia membawa misi besar untuk menghidupkan kembali memori indah sambutan Syawal yang penuh dengan ketenangan dan kebersamaan keluarga.
Menurut Syamel, kekuatan utama Suasana Raya terletak pada melodinya yang catchy dan mampu membangkitkan mood keriangan perayaan dalam sekelip mata.
“Kami mahu pendengar merasai kegembiraan yang kami alami sepanjang proses rakaman. Sepanjang berada di studio, kami sentiasa menyanyi dalam keadaan tersenyum agar emosi jujur itu dapat sampai terus ke hati pendengar. Kami mahu lagu ini menjadi teman setia setiap kali tibanya Aidilfitri,” katanya di majlis pelancaran rasmi yang berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya, semalam.
Tambah Syamel, lagu ini sangat sesuai didengarkan ketika meluangkan masa berkualiti bersama keluarga serta rakan taulan, sekali gus menjadi runut bunyi wajib setiap kali Syawal menjelma.

Bagi Ernie Zakri pula, proses rakaman kali ini disifatkan sebagai pengalaman yang cukup menyeronokkan dan berbeza berbanding lagu-lagu balada yang pernah dirakamkannya sebelum ini.
“Lagu ini sangat fun dan santai. Apabila merakamkannya bersama Syamel, proses itu menjadi lebih mudah kerana kami dapat benar-benar menikmati setiap momen. Keserasian kami yang sudah lama terjalin membantu kami menyampaikan mesej lagu ini dengan lebih ikhlas,” jelasnya.
Suasana Raya turut diperkuatkan dengan penghasilan muzik video (MV) yang dirakamkan di Hong Kong hasil kolaborasi bersama Hong Kong Tourism Board.
Pemilihan lokasi tersebut bukan sahaja memberikan dimensi visual yang segar dan moden, malah ia turut menonjolkan destinasi mesra Muslim di bandar raya berkenaan, seperti Islamic Centre Canteen dan Kowloon Mosque.
Bagi pasangan suami isteri ini, pengalaman penggambaran di Hong Kong merupakan memori yang sangat bermakna kerana ia seperti sebuah percutian keluarga bersama cahaya mata mereka, Khawla.
“Kami berharap Suasana Raya akan menjadi antara lagu yang menemani detik-detik indah Aidilfitri, dan terus kekal di hati peminat untuk jangka masa yang panjang,” kata mereka mengakhiri bicara.
Kini, Suasana Raya sudah boleh dinikmati di semua platform penstriman digital utama seluruh negara.




